JOHOR BAHRU: Kelicikan sindiket pengedaran dadah yang membungkus semula bahan terlarang itu dalam paket minuman segera gagal mengaburi pihak berkuasa selepas lebih 15.2 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.39 juta dirampas.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun pada pukul 5 petang di tepi jalan di Taman Pelangi, kelmarin yang membawa pelbagai jenis dadah, antaranya serbuk dan pil ekstasi, pil erimin 5 dan ketamin.
“Penahanan lelaki itu disusuli serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pelangi, di mana suspek menyewa bilik di rumah itu untuk dijadikan stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah. Lelaki itu akan mengosongkan peket minuman segera itu sebelum memasukkan serbuk dadah, kemudian peket itu ditampal semula menggunakan mesin bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 231 paket serbuk ekstasi seberat 13.6 kg bernilai RM2.26 juta, 707 biji pil ekstasi (RM35,350), 2,465 biji pil erimin 5 (RM49,300), sembilan peket ketamin (RM36,385) dan tiga liter minuman mengandungi dadah bernilai RM3,000.
Katanya, setiap peket minuman yang mengandungi serbuk dadah itu dijual di pusat hiburan dengan harga antara RM150 hingga RM200 sepeket.
Dalam serbuan sama, polis turut menyita dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM650 dan pihaknya percaya suspek tidak bergerak sendirian serta masih mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari tahun lalu.
“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 62,063 penagih. Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat awal pagi semalam, seramai 11 penjawat awam antara 30 individu ditahan kerana didapati positif dadah.
Mereka ditahan dalam Op Hibur yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor.










