Kos bahan binaan naik beri kesan pada kontraktor kecil

Kos bahan binaan naik beri kesan pada kontraktor kecil

SHAHRUL Izuan Shafie (kanan) menyerahkan rumah kepada pelanggannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN harga kos bahan mentah sejak kebelakangan ini mencetuskan kerisauan syarikat kontraktor binaan rumah di atas tanah persendirian terhadap penurunan trend permintaan.

Walaupun terdapat pelbagai reka bentuk rumah gaya moden terbaharu dengan pakej menarik ditawarkan syarikat kontraktor, namun ia dilihat tidak begitu berkesan.

Ekoran daripada isu berkenaan, sumber pendapatan dan keuntungan syarikat-syarikat kecil kontraktor rumah yang menawarkan perkhidmatan tersebut teruk terjejas.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan iMHome Property Management Sdn. Bhd. (iMHome), Shahrul Izuan Shafie berkata, syarikatnya kini mengalami situasi di mana kebanyakan pelanggan mereka hanya memilih reka bentuk rumah yang asas dan ‘cukup hanya untuk tempat berteduh.’

Menurut beliau, sebilangan besar pelanggannya yang terdiri daripada mereka yang telah mencapai umur persaraan dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap mengambil pilihan perkhidmatan binaan rumah dengan harga paling murah.

“Walaupun pilihan mereka (pelanggan) tidaklah memenuhi kriteria atau rumah idaman ideal yang diingini sebelum ini, akan tetapi mereka hanya mahukan tempoh pembinaan yang singkat, supaya dapat diduduki segera.

“Sebagai contoh, dengan hanya mempunyai bajet bernilai RM100,000, untuk mengupah kontraktor binaan, pelanggan cuma boleh mendapatkan saiz kaki persegi rumah yang sangat kecil.

“Berbanding dengan dua atau tiga tahun sebelum ni, bermodalkan RM100,000, pelanggan dapat membina rumah yang keluasannya lebih besar dan dijamin selesa untuk mereka yang berkeluarga besar.

“Namun sekarang, dengan RM60,000, pelanggan kami cuma boleh mendapatkan pakej rumah yang mempunyai dua bilik, satu bilik tidur dan keluasan rumah hanyalah 500 kaki persegi,“ kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kos bahan binaan dijangka akan terus meningkat ekoran penambahan kadar Cukai Perkhidmatan baru-baru ini.

“Kenaikan dua peratus Cukai Perkhidmatan menyebabkan pembekal bahan binaan menaikan harga, sekali gus memberi kesan kepada syarikat kerana kami juga terpaksa meningkatkan harga pakej binaan untuk mengimbangkan kos modal dan perolehan keuntungan.

“Kami terpaksa menaikkan harga pakej binaan sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada harga asal bagi menampung peningkatan cukai dan harga bahan mentah itu,” ujarnya.

Justeru, tiada pilihan lain dan pihaknya bakal mengumumkan harga terkini pakej reka bentuk rumah yang ditawarkan dalam tiga atau empat bulan akan datang.

“Tindakan ini, supaya bakal pelanggan kami dapat bersedia dan jelas dengan kenaikan harga binaan yang turut memberi kesan kepada kami,” kata beliau.

Jelasnya, masalah ini dilihat berlarutan kerana kerajaan tidak menetapkan harga siling bahan mentah bagi mengawal kenaikan harga.

“Selain itu, turun naik prestasi ringgit juga antara faktor lain yang mendorong kami menaikkan harga pakej.

“Jika melihat keadaan mata wang ringgit yang jatuh pada paras terburuk pada pertengahan bulan Oktober 2023 dan juga Februari tahun ini, menjadikan harga binaan mendadak tinggi,” katanya.

Justeru, beliau meluahkan rasa risau berkemungkinan besar masyarakat tidak memerlukan perkhidmatan kontraktor untuk membuat rumah sendiri dan lebih rela mengupah orang secara tradisional untuk membina kediaman mereka.

Beliau menjelaskan, ini kerana kenaikan pakej perkhidmatan membina rumah daripada kontraktor dalam masa  tujuh tahun atas boleh mencecah harga lebih RM500,000 untuk satu buah rumah yang berkeluasan 400 ke 500 kaki persegi.

“Maka jika gaji atau pendapatan pelanggan tidak seiring dengan kenaikan kos di masa akan datang, maka permintaan daripada pelanggan semakin berkurangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×