Jual dadah dalam peket minuman ke pusat hiburan - Utusan Malaysia

Jual dadah dalam peket minuman ke pusat hiburan

M. KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang lelaki dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kelicikan sindiket pengedaran dadah yang membungkus semula bahan terlarang itu dalam peket minuman segera gagal mengaburi pihak berkuasa selepas lebih 15.2 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.39 juta dirampas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun pada pukul 5 petang di tepi jalan di Taman Pelangi, kelmarin yang membawa pelbagai jenis dadah, antaranya serbuk dan pil ekstasi, pil erimin 5 dan ketamin.

“Penahanan lelaki itu disusuli serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pelangi, di mana suspek menyewa bilik di rumah itu untuk dijadikan stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah. Lelaki itu akan mengosongkan peket minuman segera itu sebelum memasukkan serbuk dadah, kemudian peket itu ditampal semula menggunakan mesin bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 231 paket serbuk ekstasi seberat 13.6 kg bernilai RM2.26 juta, 707 biji pil ekstasi (RM35,350), 2,465 biji pil erimin 5 (RM49,300), sembilan peket ketamin (RM36,385) dan tiga liter minuman mengandungi dadah bernilai RM3,000.

Kumar berkata, setiap peket minuman yang mengandungi serbuk dadah itu dijual di pusat hiburan dan ‘private party’ dengan harga antara RM150 hingga RM200 sepeket.

Dalam serbuan sama, polis turut menyita dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM650 dan pihaknya percaya suspek tidak bergerak sendirian serta masih mengesan saki-baki ahli sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari tahun lalu.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 62,063 penagih. Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya sambil memberitahu suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 30 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.

Dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Batu Pahat awal pagi tadi, seramai 11 penjawat awam antara 30 individu yang ditahan kerana didapati positif dadah.

Kumar berkata, mereka ditahan dalam Op Hibur yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor pada pukul 1 pagi ke atas sebuah pusat hiburan yang beroperasi lebih masa.

“Hasil saringan awal air kencing ke atas 49 individu, didapati seramai 30 orang yang terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita berusia antara 17 hingga 52 tahun positif dadah. Daripada jumlah itu, 11 penjawat awam serta seorang remaja lelaki bawah umur didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63, Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×