KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 900,000 batang rokok pemanas dalam serbuan berasingan di tepi Sungai Kelantan dekat Pasir Pekan, Tumpat pada Rabu.
Serbuan pukul 9.30 malam itu melibatkan rampasan berjumlah RM270,000 tidak termasuk cukai.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ini merupakan rampasan rokok pemanas pertama yang diseludup masuk ke negeri ini.
Menurutnya, kebiasaan JKDM merampas rokok putih pelbagai jenama.
“Kelantan tidak menolak kemungkinan rokok tersebut dibawa masuk dari Thailand.
“Kebanyakan yang menggunakan rokok pemanas adalah golongan muda dan harga yang dijual agak mahal sekitar RM14 sekotak,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kemasukan rokok pemanas ke negeri ini menunjukan permintaan terhadap barangan itu semakin tinggi dalam kalangan masyarakat di Kelantan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
“Bagaimanapun, JDKM Kelantan masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik barang dan lori tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pihaknya merampas 1.7 juta batang rokok pelbagai jenama di Kampung Pasir Pekan Hilir.-UTUSAN










