Rezeki lebih luas - Kaka Azraff anggap penamatan kontrak satu hikmah - Utusan Malaysia

Rezeki lebih luas – Kaka Azraff anggap penamatan kontrak satu hikmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff, bersyukur masih dikurniakan rezeki dalam dunia nyanyian meskipun ditamatkan kontrak dengan sebuah syarikat rakaman Disember lalu.

Penyanyi lagu Gila itu menganggap penamatan kontrak tersebut sebagai satu hikmah yang membuka kesempatan untuk dia meneroka pelbagai perkara dalam kerjayanya. 

“Bila kes itu terjadi saya nampak jalan lebih luas, mudah dan banyak peluang yang saya dapat. Saya tak kata mereka (label) tak buat apa-apa untuk saya. 

“Tapi kerana kes itu jugalah nama saya lebih dikenali. Rezeki Allah itu luas, saya tak rasa ia (penamatan kontrak)  menghalang saya, malah memberi ruang lebih besar. 

“Saya kini boleh lakukan sendiri  tanpa bergantung kepada label. Alhamdulillah jalan lebih ‘terang’,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Kaka mengakui sudah lali dengan kecaman walaupun pernah menjadi mangsa buli siber oleh pengguna pro-Israel kerana kelantangannya menghina Zionis. 

“Sehingga kini, saya masih terima kecaman. Kalau saya buat hantaran di media sosial, mesti akan ada satu komen daripada orang sana (Israel). Nampaklah mereka benar-benar ‘koyak’. 

“Tapi perkara itu tidak mengganggu saya. Sekarang saya sudah boleh abaikan komen-komen itu,” katanya.

Dalam perkembangan  lain, Kaka bakal beraksi di sebuah program rancangan realiti terbaharu terbitan Astro,  The Hardest Singing Show. 

Penyanyi tersebut akan berentap dengan sembilan artis lain bagi merebut gelaran juara.

“Oleh sebab nak masuk program ini, saya sudah lantik pengasuh untuk anak saya. Ini kerana suami saya pun akan terlibat memandangkan dia seorang yang kreatif. 

“Jadi saya paksa dia untuk menjadi salah seorang daripada pasukan saya. Biar sama-sama menjayakan saya di atas pentas.

“Alhamdulillah dia setuju. Kami akan kerja dan cuba berikan yang terbaik,” kongsinya. 

Program tersebut  akan bersiaran dari Pusat Konvensyen CIDB Cheras setiap Ahad selama 10 minggu. 

Antara peserta yang akan turut menyertai pertandingan ini ialah Alyah, Epul Roza, Zizi Kirana, Putera Muhammad, Aisha Retno, Ayda Jebat, kumpulan De Fam dan Stacy.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×