Kastam beli tiga mesin pengimbas canggih atasi penyeludupan dadah guna kurier - Utusan Malaysia

Kastam beli tiga mesin pengimbas canggih atasi penyeludupan dadah guna kurier

SAZALI Mohamad (kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam tiga kes serbuan berasingan pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses perolehan membeli tiga buah mesin pengimbas tahun ini yang diyakini mampu mengesan kegiatan penyeludupan dadah terutamanya menggunakan perkhidmatan kurier.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, pembelian mesin berteknologi tinggi dan canggih itu di samping mesin pengimbas jenis backscatter (mobile) itu nanti akan dapat meningkatkan keupayaan Malaysia dalam memerangi jenayah penyeludupan. 

“Melihat negara lain seperti di Korea Selatan, mereka mempunyai sistem saringan, pengesan yang sangat canggih untuk parcel, jadi kita sedang mengkaji untuk ke arah itu.

“Berikutan itu, kita mengharapkan dengan perolehan tiga mesin baharu tidak lama lagi, dan mungkin ada keupayaan kecerdasan buatan (AI) akan dapat membantu pegawai mengesan dadah dengan lebih teliti dan baik,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Pada masa sama, Sazali berkata, JKDM juga dalam proses menambah 20 lagi ekor anjing pengesan dadah yang dijangka akan sampai pada Jun depan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.9 juta.

“Setakat ini, kita mempunyai 20 anjing pengesan terdiri daripada baka German Shepherds dan dengan tambahan itu akan mempertingkatkan lagi pemeriksaan penguat kuasa terhadap jenayah tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu dalam sidang media itu, beliau memaklumkan, JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan anggaran berat 70 kilogram (kg) bernilai lebih RM2.4 juta menerusi tiga kes berasingan dalam serbuan yang dijalankan pada bulan ini. 

 

Katanya, menerusi kes pertama iaitu pada 7 April lalu di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita dua kotak yang diikrarkan sebagai alatan perkakasan

“Hasil pemeriksaan daripada dua bungkusan tersebut telah menjumpai bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar enam kilogram. dianggarkan bernilai RM300,000. Turut dijumpai bungkusan makanan kering yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 27.65 kg dianggarkan bernilai RM884,800.

“Siasatan mendapati dagangan dihantar dengan menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang ke Sabah dengan menyalahgunakan nama syarikat penerima yang menjalankan perniagaan perkakasan,” katanya.

Bagi kes kedua, Sazali berkata, pada 18 April lalu di sebuah premis pengendali perkhidmatan kurier di Subang Jaya, Selangor, pihaknya telah menyita sebanyak tiga bungkusan yang diikrar sebagai seluar.

“Daripada pemeriksaan lanjut mendapati, daripada tiga bungkusan tersebut telah menjumpai bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 40.2 kg yang dianggarkan bernilai RM1.28 juta.

“Siasatan awal mendapati dagangan dihantar dari cawangan pengendali perkhidmatan kurier di sebuah kawasan di Kedah dan kemudian dihantar ke Hab Ibu Pejabat Perkhidmatan Kurier di Subang Jaya Selangor menggunakan laluan darat dan akan dihantar ke Kuching, Sarawak menggunakan laluan udara,” katanya.

 Beliau berkata, bagi kes ketiga pula, pihaknya telah menyita sebuah kotak parcel yang diikrarkan sebagai makanan ringan dalam serbuan pada 23 April lalu lebih kurang pukul 12 tengah hari di Pos Malaysia International Hub (PMIH), Kompleks Kargo, KLIA.

“Hasil pemeriksaan daripada kotak tersebut telah menjumpai plastik lutsinar yang mengandungi bahan leraian tumbuhan hijau disyaki dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat kasar 1,268 gram yang dianggarkan bernilai RM4,000. Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×