Adil memberi hadiah kepada anak-anak - Utusan Malaysia

Adil memberi hadiah kepada anak-anak

IBU bapa perlu adil apabila memberi hibah atau hadiah kepada anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Islam menganjurkan agar kita saling mengasihi demi memperkuat silaturrahim sesama kita. Saling kasih mengasihi adalah tanda kesempurnaan iman. Di antara perbuatan yang boleh melahirkan kasih sayang adalah memberi hadiah atau hibah.

Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu saling memberi hadiah untuk saling mengasihi. (riwayat Bukhari dan Baihaqi)

Sifat memberi hadiah adalah akhlak yang terpuji, ia juga menjadi perantara untuk mendekatkan hubungan antara dua orang yang berselisih.

Rasulullah SAW bersabda: Memberi hadiah dapat menghilangkan rasa benci, hendaklah kamu saling memberi hadiah kerana yang demikian itu dapat menghilangkan panasnya dada. (riwayat Imam Ahmad).

Fitrah manusia suka kepada sesiapa yang berbuat baik kepadanya. Itulah naluri manusia, mereka akan mengasihi kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Keluarga dan kaum kerabat adalah sasaran utama untuk saling mengasihi.

Oleh kerana itu, memberi hadiah kepada keluarga yang memerlukan adalah lebih baik. Sabda Rasulullah SAW: Sedekahmu kepada keluarga akan mendapat pahala sedekah dan silaturahim. (riwayat Tirmidzi)

Dalam memberi hadiah kepada orang lain selain keluarga, ia terpulang kepada yang memberi. Namun, apabila hibah itu kepada anak-anak maka hendaklah dia berlaku adil dan sama rata, baik anak lelaki atau perempuan. Melainkan ada sebab-sebab tertentu yang boleh melebihkan satu dari yang lain.

Contohnya, jika anak itu golongan orang kurang upaya, maka boleh melebihkannya daripada yang lain kerana keadaan anak itu yang memerlukan lebih dari yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: Sama ratakanlah pemberianmu kepada anak-anakmu, kalau aku boleh berpilih kasih dalam pemberian maka aku akan beri lebih kepada anak perempuan. (riwayat Baihaqi)

Ada perbezaan dalam istilah pemberian kepada anak-anak iaitu hibah, warisan dan wasiat. Hibah diberi semasa hidup ada pun warisan selepas kematian, wasiat juga berlaku setelah kematian.

Hibah tiada batasan jumlah, ada pun warisan sudah ditetapkan sebagaimana dalam hukum faraid. Ada pun wasiat pula dibolehkan sehingga 1/3 dari harta yang ditinggalkan. Hibah dibolehkan untuk diberi kepada ahli waris sementara wasiat pula tidak benarkan.

Terdapat perbezaan ulama terhadap hukum sama rata dalam pemberian terhadap anak-anak. Ada yang berpendapat wajib ada pula yang berpendapat sunat muakkad. Syaratnya ia bukan bertujuan tidak memberi warisan kepada ahli waris atau menghalang ahli waris untuk menerima warisan.

Dalam hal ini, apabila hibah bertujuan menghalang ahli waris dari menerima warisan maka dia berdosa pada niatnya itu.

Tujuan hibah kepada anak-anak dituntut untuk sama rata agar tidak menimbulkan kecemburuan dan permusuhan kerana perbuatan yang tidak adil tersebut. Sehingga perbuatan itu mengakibatkan adik-beradik saling bertelagah dan kemudian pada akhirnya terputus silaturahim.

Diriwayatkan dari an-Nu’man bin Basyir, bahawa ibunya, Bintu Rawahah pernah meminta kepada ayahnya sebahagian daripada hartanya untuk diberi kepada anaknya, saat itu ayahnya menangguhkannya sehingga setahun, sesudah itu barulah diberikan.

Kata ibunya: “Saya tidak suka sebelum pemberian itu disaksikan oleh Rasulullah SAW”. “Lalu ayah memimpin tanganku dan mengajakku menemui Rasulullah SAW, sedangkan waktu itu saya masih kanak-kanak”. Ayahnya berkata kepada Baginda, “Ibu anak ini, Binti Rawahah, memandang perlu untuk minta penyaksian daripadamu atas pemberian yang saya berikan kepada anaknya”.

Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Basyir, apakah kamu memiliki anak selain anak ini?” Ayahku menjawab, “Ya”. Baginda bersabda: “Apakah mereka semua kamu beri dengan pemberian seperti itu?” Ayahku menjawab, “Tidak”. Sabda Baginda: “Kalau begitu, saya tidak mahu menjadi saksi atas pemberian yang kurang adil (zalim) ini”.

Hadis ini menjelaskan beberapa perkara penting:

Pertama, bertanya sebelum melakukan sesuatu. Memastikan hukum atas suatu perbuatan adalah tindakan yang amat tepat agar tidak salah menurut syariat. Walaupun perbuatan tersebut kelihatan baik.

Sahabat Nabi bernama Basheer ingin berbuat baik dengan memberi hadiah kepada anaknya. Tetapi syariat melarangnya kerana ia akan menimbulkan kecemburuan pada yang lain.

Kedua, mengadakan saksi dalam hibah. Walaupun bukan satu kewajiban mengadakan saksi dalam berhibah tetapi untuk lebih menjamin keselamatan dan mengelak pertikaian maka digalakkan membawa saksi sebagai bukti terhadap hibah itu.

Ketiga, seorang ayah boleh meminta balik hadiah yang telah diberi kepada anaknya. Pada dasarnya meminta balik hadiah yang sudah diberikan adalah bertentangan dengan hukum dan akhlak.

Rasulullah bersabda: Orang yang meminta balik hadiah sama halnya seperti orang yang mengambil balik ludahnya. (riwayat Bukhari).

Seseorang itu tidak boleh meminta balik hadiah yang telah diberikan kepada orang lain setelah hadiah itu diterima oleh penerima, melainkan orang tua kepada anaknya.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh seseorang memberi hadiah lalu ia meminta balik hadiah itu, melainkan seorang ayah kepada anaknya. (riwayat Abu Daud).

Oleh kerana orang tua lebih mengetahui maslahah untuk anaknya dan juga memiliki hak yang lebih berbanding orang lain.

 

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×