SEOUL: Korea Utara lancarkan satu lagi peluru berpandu yang dilengkapi dengan sistem baharu kelmarin, ketika Amerika Syarikat (AS) memberi amaran tindakan itu merupakan ancaman kepada keselamatan serta keamanan antarabangsa.
Pelancaran itu secara tidak langsung menunjukkan program senjata nuklear Korea Utara masih ‘stabil dan berkembang’ selepas rundingan menghentikan program itu bersama AS sehingga kini ‘tiada hala tuju’.
Presiden AS, Joe Biden memaklumkan Washington tetap membuka ruang diplomasi bersama Pyonyang, namun memberi amaran negara itu akan bertindak sekiranya tindakan Korea Utara semakin melampau.
Dalam pada itu, Jabatan Negara AS mengkritik pelancaran peluru berpandu baharu tersebut dan menyifatkannya sebagai menggoyahkan keselamatan antarabangsa.
“Pelancaran tersebut mencabuli pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengancam keselamatan serantau serta komuniti antarabangsa,” menurut jurucakap jabatan itu.
Lapor agensi berita Korea Utara, KCNA, sistem peluru berpandu itu sudah diperbaharui dan mampu membawa muatan bahan letupan seberat 2.5 tan.
Pakar peluru berpandu, Jeffrey Lewis dari James Martin Center for Nonproliferation Studies (CNS) yang berpangkalan di California memaklumkan peluru berpandu yang dilancarkan kelmarin mungkin peluru berpandu balistik jarak pendek (SRBM) yang sudah dinaik taraf.
“Pada Ogos tahun lalu, Korea Utara mengumumkan peluru berpandu Hyunmoo-4 merupakan SRBM paling besar di dunia yang mampu memuatkan dua tan bahan letupan,” ujar Lewis. – AGENSI










