KUALA LUMPUR : Nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu merosot sebanyak 13.3 peratus kepada RM21.84 bilion pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara sama turut berlaku dari segi kuantiti eksport produk kayu di mana kemerosotan berlaku dengan kadar 4.2 peratus pada tempoh yang sama.
“Kemerosotan itu berlaku ada beberapa faktor antaranya kedudukan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, jadi permintaan berkurangan. Dahulu, eksport kita hampir mencecah 40 peratus industri perkayuan, termasuk produk-produk kayu (dieksport) ke AS.
“Tetapi yang paling penting, saya mahu pastikan kita mesti ada kualiti dan kredibiliti. Apabila kita menghasilkan produk kayu kayan di dalam negara, ia mestilah asli dari Malaysia.
“Kalau kita import pun, sebahagian besar komponen itu mesti datang dari Malaysia, barulah kita boleh kata yang ia produk Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Anugerah perkhidmatan Cemerlang 2023 (APC 2023) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Cheras, dekat sini, semalam.
Tegas Johari, penekanan harus diberikan kepada semua industri perkayuan supaya tahap pematuhan dan pengeluaran produk berasaskan kayu dapat dicapai, sekali gus meningkatkan kepercayaan pembeli yang ia adalah buatan Malaysia.
Ujarnya, industri perkayuan di Malaysia kini menyumbang RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan produk berasaskan kayu dari Malaysia dieksport ke lebih 173 negara.
Dalam masa yang sama, Johari turut menyasarkan nilai eksport industri perkayuan mencecah RM28 bilion menjelang 2030.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keselamatan siber adalah sangat penting bagi setiap kementerian termasuk KPK dan agensi-agensi di bawahnya seperti MTIB, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Pada masa ini, jelasnya lagi penggodam bukan sahaja mensasarkan bank namun turut menyerang agensi kerajaan dan syarikat.
“Mungkin bank susah dia (penggodam) nak godam sebab bank banyak laburkan sistem ‘firewall’ yang begitu mahal, susah dan sangat kompleks untuk digodam.
“Dulu, apabila cerita pasal keselamatan siber ini kita fikirkan membabitkan bank. Sekarang tak boleh, semua kena buat persediaan.
“Ia termasuklah mana-mana agensi kerajaan seperti MTIB, MPOB, LGM dan anak syarikat di bawahnya. Ini juga termasuk kepada syarikat besar di luar sana sangat penting kita pastikan keselamatan siber ini mesti di tahap sangat tinggi,” katanya. – UTUSAN








