KLUANG: Hasrat seorang wanita untuk mendapatkan perkhidmatan membersihkan kediaman bertukar menjadi detik malang selepas mengalami kerugian ratusan ribu ringgit akibat menekan pautan yang diberikan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pesara guru berusia 59 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran perkhidmatan pembersihan rumah dalam media sosial Facebook pada 13 April lalu.
Mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan dikehendaki menekan pautan yang diberikan.
“Tujuan pautan tersebut adalah sebagai proses permohonan dan pembayaran atas perkhidmatan tukang cuci yang ditawarkan.
“Suspek telah meminta mangsa memasukkan butiran diri dan maklumat perbankan milik mangsa, namun mangsa mendapati proses pembayaran gagal disebabkan pautan tersebut bermasalah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tidak lama selepas itu, pihak bank menghubungi mangsa dan dimaklumkan terdapat pindahan wang sebanyak RM249,682 secara berperingkat-peringkat tetapi tidak disedari mangsa.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.
Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati apabila menekan sebarang pautan dan tidak memberi maklumat peribadi diri serta perbankan kepada mana-mana pihak dan membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu jika terdapat keraguan. – UTUSAN










