KOTA BHARU: Usaha memadam kebakaran tanah gambut di Kampung Batu Karang, Rantau Panjang di sini menjadi sukar kerana anggota bomba berdepan masalah bekalan air akibat kemarau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, ketika ini sebanyak enam daripada 14 hektar kawasan yang terbakar masih belum berjaya dipadam sepenuhnya.
“Kemarau yang sedang melanda ketika ini menyebabkan sumber air di kawasan itu kering. Situasi itu menjadi satu cabaran besar buat kami.
“Bagi melancarkan kerja-kerja memadam, kami terpaksa menggunakan jentera tangki bagi mengangkut air untuk melancarkan tugas tersebut,” katanya.
Zainal memberitahu, ketika ini kerja-kerja memadam kebakaran masih giat dijalankan dengan membahagikan kawasan itu kepada tiga sektor.
Katanya, JBPM Kelantan akan terus sedaya upaya memastikan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 500 penduduk di Kampung Tok Pelanduk, Batu Karang di sini mendakwa kehidupan mereka terjejas selepas kawasan hutan tanah gambut seluas 14 hektar terbakar sejak 16 April lalu.
Penduduk memberitahu, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa hidup bersama asap tebal selain bimbang kebakaran merebak ke kawasan penempatan.
Seorang penduduk, Zakaria Ismail, 64, berkata, sudah empat hari dia tidak dapat tidur nyenyak memikirkan keselamatan rumah yang terdedah risiko kebakaran tersebut.
Katanya, rumahnya adalah lokasi yang paling hampir dengan kawasan kebakaran. – UTUSAN










