JERANTUT: Musim kemarau menyebabkan Sungai Pahang di daerah ini cetek sehingga sebilangan ternakan ikan sangkar terbantut pembesaran.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangat Ali Mat Isa, 49, meneruskan usaha menternak ikan sangkar yang merupakan sumber rezekinya di Kampung Jerantut Feri dekat sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ali berkata, dalam tempoh sebulan sejak sebelum bulan Ramadan lagi, dia menternak lebih 55,000 ekor ikan patin dan tilapia di 17 sangkar berdekatan Kampung Jerantut Feri.
“Saya serta penternak lain berdepan musim kemarau dan cuaca panas serta keadaan air cetek seakan-akan tidak mampu sedangkan permintaan ikan tersebut semakin meningkat daripada pelanggan termasuk kedai makan serta penggemar masakan tempatan.
“Dalam tempoh bulan Ramadan sehingga ini, saya sudah menjual hampir 15,000 ekor ikan patin dan tilapia termasuk (ikan) salai untuk pelanggan dan juga pengusaha makanan di bandar ini serta pengunjung luar,” katanya di Jerantut Feri di sini, semalam.
Menurut Ali, dia dibantu isterinya, Siti Hajar Sahari, 42, menguruskan gerai jualan ikan tersebut berdekatan Jalan Jerantut-Maran untuk kemudahan orang ramai singgah berbelanja setiap hari.
Bercerita keadaan musim kemarau, Ali menjelaskan, suhu panas juga boleh membantutkan pembesaran saiz dan sebilangan kecil benih ikan ada yang mati.











