Helikopter HOM pertama kali digunakan untuk pertunjukan TLDM - Utusan Malaysia

Helikopter HOM pertama kali digunakan untuk pertunjukan TLDM

KEADAAN satu daripada helikopter yang terhempas di Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Helikopter operasi Maritim (HOM) jenis AW139 yang terlibat dalam nahas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi, pertama kali digunakan untuk acara lintas hormat pasukan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, berkata helikopter yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, itu mula digunakan pasukan TLDM sejak 2021.

Menurutnya, helikopter tersebut diterbangkan khas dari Kota Kinabalu untuk menyertai raptai lintas hormat sempena sambutan Ulangtahun Ke-90 TLDM yang akan diadakan di sini.

Jelasnya, sebuah lagi helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut iaitu Fennec M502-6 dari sini, beroperasi sejak 2003 dan sudah tiga kali menyertai acara lintas hormat sempena hari ulangtahun TLDM.

“Ketika kejadian, helikopter HOM dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota,”
katanya pada sidang media di Stadium TLDM Lumut hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohamad Ab. Rahman dan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Menurut Mohamed Khaled, ketika kejadian sebanyak tujuh helikopter terlibat dalam raptai iaitu melibatkan empat helikopter Fennec, dua HOM dan sebuah Super Lynx, sejak kira-kira empat hari lalu.

Jelasnya, helikopter HOM terhempas di kawasan Stadium Lumut manakala helikopter Fennec terhempas di kawasan kolam renang yang terletak bersebelahan stadium tersebut.

Jelas beliau, semua mangsa berusia dalam lingkungan 26 hingga 41 tahun.

Menurutnya, lembaga siasatan kejadian itu yang ditubuhkan TLDM dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pasukan
Ketua Pengarah Teknikal Kelayakan Udara (DGTA).

Beliau memberitahu pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan kejadian itu apabila tiba masanya dan tidak mahu membuat andaian awal kejadian itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×