Pembedahan robotik bantu pesakit osteoarthritis

Pembedahan robotik bantu pesakit osteoarthritis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN mendapati penduduk Asia lebih berisiko mendapat osteoarthritis (OA) lutut berbanding OA pinggul yang lazim berlaku kepada populasi Barat.

Keadaan itu disebabkan oleh pelbagai faktor seperti perbezaan struktur badan, pilihan gaya hidup dan pengaruh persekitaran.

Sebagai contoh, amalan mencangkung dalam komuniti Asia yang didapati memberikan tekanan pada sendi lutut.

Selain itu, tabiat pemakanan, obesiti dan pergerakan berulang, turut menyebabkan OA lutut kerap berlaku dalam kalangan penduduk rantau ini.

Pakar Perunding Ortopedik, Trauma, Artroplasti dan Robotik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Yuen Jin Chuan berkata, dianggarkan 10 hingga 20 peratus golongan dewasa di negara ini dikesan menghidap OA lutut.

Walaupun penuaan kekal sebagai faktor risiko utama, namun ia boleh menyerang golongan muda yang mengalami kecederaan sendi di samping pesakit rheumatoid arthritis, gout atau metabolik.

Ketika ini terdapat pelbagai pilihan rawatan OA lutut termasuk ubat-ubatan seperti suntikan kondroitin, steroid dan asid hyaluronik di samping prosedur invasif minimum iaitu ablasi radio frekuensi yang menyasarkan saraf di sekeliling sendi.

Bagaimanapun, rawatan itu hanya melegakan simptom, manakala untuk jangka panjang serta fungsi sendi yang lebih baik, memerlukan pembedahan penggantian sendi lutut (TKR).

Antara alternatif bagi pesakit ialah pembedahan robotik dengan menggunakan mesin Mako.

Ia membolehkan perancangan pembedahan secara lebih tepat dan disesuaikan mengikut keadaan pesakit melalui sistem pengimejan 3D yang akan mencipta pelan pembedahan khusus.

“Lengan robotik akan membantu pakar bedah membuat reseksi tulang, membolehkan penyelarian (alignment) lebih baik dan tahan lama,” katanya baru-baru ini.

Menurut Dr. Jin Chuan, pembedahan itu berupaya menghasilkan semula kinematik semula jadi lutut dengan tepat sekali gus memulihkan penyelarian dan meningkatkan prestasi sendi secara menyeluruh.

Berbeza dengan pembedahan TKR konvensional yang selalunya akan mengubah penyelarian kinematik lutut normal dan berpotensi mengakibatkan fungsi sendi terjejas.

Malah, teknologi berkenaan dapat memastikan pembedahan kurang invasif, tahap kesakitan berkurangan di samping masa pemulihan yang lebih singkat.

Risiko kegagalan implan juga lebih rendah kerana lengan robot akan memastikan penempatan komponen yang lebih tepat.


BUKAN ROBOT
Disebabkan teknologi Mako masih baharu, timbul salah faham kononnya pembedahan itu dilakukan sepenuhnya oleh robot, meninggalkan banyak risiko kepada pesakit.

Realitinya, pembedahan masih dilakukan oleh pakar bedah yang mengawal mesin robotik berkenaan.

Bahkan, pakar bedah perlu memiliki sijil pengendalian teknologi itu dan terlatih sebelum menjalankan pembedahan TKR robotik.

“Teknologi ini boleh memetakan variasi anatomi pesakit dan mencipta pelan yang diperibadikan, sekali gus merendahkan kadar risiko komplikasi,” katanya.

Pelaksanaan pembedahan TKR robotik menandakan permulaan baharu dalam bidang penjagaan ortopedik.

“Dengan kelaziman penyakit OA lutut dalam kalangan dewasa di Malaysia, penyelesaian inovatif seperti ini dapat meningkatkan prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit.

“Ia selaras dengan hasrat kami, ke arah memperkasakan individu untuk mendapatkan semula mobiliti dan kualiti kehidupan mereka seperti sediakala,” katanya.

LANGKAH PENCEGAHAN
Antara simptom OA ialah kaku pada lutut, sakit semasa berdiri atau berjalan jarak pendek di samping bengkak sendi lutut.

Langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko OA lutut ialah mengekalkan berat badan
sihat, di samping menambah makanan mesra sendi seperti ikan, kekacang, sayur hijau dan buah beri ke dalam diet.

Pengambilan suplemen seperti asid lemak omega 3 dan glucosamine juga boleh membantu mengurangkan risiko mendapat OA lutut, selain bersenam.

Ada segelintir yang menganggap kononnya pergerakan boleh menyebabkan penyakit menjadi semakin teruk dan kurang bergerak adalah lebih baik.

Namun, jelas Dr. Jin Chuan, aktiviti berimpak rendah seperti berenang, berbasikal dan yoga boleh membantu mengekalkan fleksibiliti serta kestabilan sendi sambil menguatkan otot tanpa meletakkan terlalu banyak tekanan.

“Perubahan kecil dalam gaya hidup dan aktiviti seharian seperti mengamalkan postur yang baik, berhati-hati semasa mengangkat objek berat di samping rehat mencukupi juga mampu mencegah OA lutut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×