PETALING JAYA: Pulau Pinang terus menunjukkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan dengan lonjakan ketibaan antarabangsa sebanyak lima peratus kepada 328,000 penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) pada Mac 2024.
Malaysia Airports Group berkata, ini berbanding 313,000 pada bulan sebelumya, dipacu oleh oleh penambahan syarikat penerbangan asing baharu, Fly Dubai (FZ) yang mengendalikan penerbangan harian terus ke PEN dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB).
Katanya, pada masa ini, PEN mengendalikan operasi 19 syarikat penerbangan antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan kepada 16 destinasi global melalui 514 penerbangan setiap minggu.
“Daya tarikan destinasi kekal kukuh, kerana lapangan terbang terus menarik syarikat penerbangan baharu.
“Pada April 2024, PEN tidak sabar-sabar menjangkakan ketibaan Thai Lion Air, yang bersedia untuk mengendalikan tiga penerbangan mingguan untuk laluan PEN – Don Mueng (DMK),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain PEN, seluruh kumpulan juga menyaksikan prestasi trafik yang mantap dengan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 10.2 juta direkodkan pada Mac 2024, terdiri daripada 7.1 juta di Malaysia dan 3.1 juta di Turki.
Bagi operasinya di Malaysia, kumpulan mencatatkan 3.8 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan 3.2 juta pergerakan penumpang domestik.
“Beberapa laluan baharu telah diperkenalkan pada Mac dan April 2024 iaitu China Eastern Airlines (MU) memulakan operasi di laluan Kunming (KMG) – Kuala Lumpur (KUL) dan Sichuan Airlines (3U) memulakan perkhidmatan di laluan Chengdu (TFU) – KUL , memperluaskan lagi pilihan perjalanan untuk penumpang,” ujarnya.
Sementara itu, aset Kumpulan di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW), mengekalkan jumlah penumpang yang stabil sebanyak 3.1 juta pada Mac 2024.
“Ini terdiri daripada 1.7 juta penumpang antarabangsa dan 1.4 juta penumpang domestik, tanda lapangan terbang itu terus relevan sebagai hab utama untuk perjalanan domestik dan antarabangsa.
“Prestasi trafik suku tahunan kumpulan juga telah mencapai pencapaian yang ketara.
“Suku pertama 2024 menunjukkan kumpulan telah melepasi kadar pemulihan 90 peratus jika berbanding dengan suku pertama 2019, dengan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 31.4 juta,” jelasnya.
Tambahnya, pergerakan penumpang antarabangsa melebihi paras suku pertama 2019 buat kali pertama, mencecah 16.9 juta pada suku pertama 2024, menandakan peningkatan lima peratus. – UTUSAN










