GEORGE TOWN : Pegawai Waran II (PW II) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Noorfarahimi Mohd. Saedy yang terkorban dalam nahas helikopter di Padang Sitiawan, Lumut, Perak disifatkan sebagai seorang yang sangat mengambil berat akan perihal adik-beradik serta ipar-duainya yang lain.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh adik iparnya, Nur Shaqirah Mat Isa, 34, ketika ditanya mengenai sikap anak keempat daripada lima beradik itu ketika hayatnya.
Menurut Nur Shaqirah, arwah yang berusia dalam lingkungan awal 40-an itu sangat rapat dengan hampir semua orang yang dikenalinya.
“Kiranya kalau ada apa-apa isu (berbangkit) dan sebagainya, dia (Noorfarahimi) akan jadi ‘kepala’. Kalau ‘plan’ (rancang) nak ke mana-mana pun sama (akan bertindak sebagai ketua),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Nur Shaqirah, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah kakak iparnya itu ialah ketika Aidilfitri yang lalu memandangkan dia tinggal di Jitra, Kedah manakala Noorfarahimi pula menetap di Lumut.
Tambahnya, kehilangan wanita yang mesra disapa sebagai Kak Farah itu sangat dirasai oleh ahli keluarga terdekat dan sahabat-handai.
Difahamkan, Norfarahimi telah berkhidmat hampir 20 tahun sebagai anggota TLDM dan akan bersara awal mulai tahun depan.
Difahamkan juga, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Selama, Perak untuk dikebumikan selepas semua urusan berkaitan selesai.
Noorfarahimi merupakan antara tiga penumpang wanita yang terkorban dalam nahas tragis melibatkan dua buah helikopter iaitu model HOM-AW139 dan Fennec yang bertembung sesama sendiri itu.
Kejadian menyayat hati ketika sesi latihan lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 kira-kira pukul 9.45 pagi tadi itu turut meragut nyawa tujuh kru yang lain.-UTUSAN











