Memaafkan boleh halangperistiwa hitam daripada berulang

Memaafkan boleh halang peristiwa hitam daripada berulang

PERPADUAN penting dalam mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan mencapai cita-cita sebuah negara madani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN isu-isu melibatkan hal agama, kaum, dan raja (3R) sejak pilihan raya umum (PRU) lalu hinggalah kepada tindakan boikot yang didasari sentimen beberapa minggu lepas amat menggusarkan.

Menurut dapatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan ketara sebanyak 123 peratus bagi kes-kes menyentuh sensitiviti 3R pada suku pertama tahun ini berbanding suku pertama tahun lalu.

Sebanyak 47 kes dikesan dan dilaporkan kepada PDRM manakala 1,454 kandungan melibatkan 3R telah diturunkan daripada media sosial seperti TikTok dan Facebook oleh pihak berwenang.

Terdapat beberapa kes yang berdampak negatif kepada keharmonian negara. Hal ini mencetuskan kebencian terhadap satu sama lain yang membawa kepada terjadinya perbuatan-perbuatan tidak diingini seperti ucapan kebencian yang ditujukan terhadap agama dan kaum lain.

Daripada 1,454 kandungan yang diturunkan, terdapat 588 kandungan berunsur kebencian terhadap kaum manakala 727 kandungan berunsur kebencian terhadap agama. Bukankah keadaan ini membimbangkan?
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia Madani menjadi falsafah pentadbirannya dalam mengemudi negara, beliau mengimpikan terhasilnya masyarakat Malaysia yang bertamadun, berbudaya dan berminda progresif. Beliau menggariskan enam tonggak yang menjadi panduan untuk mencapai cita-cita murni tersebut.

Tonggak-tonggak tersebut ialah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang termaktub dalam akronim madani.

Dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran Konvensyen Antarabangsa Dr. Ambedkar yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) minggu lalu, Anwar menegaskan kesaksamaan menjadi matlamat utama kerajaan untuk membangunkan Malaysia bagi mewujudkan kehidupan sejahtera buat semua tanpa mengira agama, budaya dan bangsa. Namun, timbulnya kes-kes yang mengganggu-gugat keharmonian negara sekali gus menjadi penghadang besar bagi tercapainya cita-cita murni tersebut oleh pihak kerajaan.

Nilai yang amat diperlukan hari ini ialah keihsanan untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik. Intisari seorang manusia adalah wujudnya ihsan dalam diri. Jika seseorang tidak memiliki keihsanan, maka orang itu bukanlah seorang manusia dan tidak mampu berfungsi sebaiknya sebagai anggota masyarakat. Memiliki keihsanan bererti kita mampu berkompromi dalam menanggapi pelbagai perbezaan. Hal ini penting untuk mengemudi Malaysia yang mudah tercetus konflik dek kemajmukan yang kita miliki.

Sayangnya, kita sudah kehilangan keupayaan untuk menjadi manusia berihsan. Seorang ahli falsafah terkemuka, Byung-Chul Han, menyatakan bahawa masyarakat dunia kini menghadapi kelesuan melampau akibat terlalu mengejar perolehan kebendaan sehingga tidak lagi mampu berfungsi sebagai seorang manusia, apatah lagi sebagai anggota masyarakat.

Menyedari keseriusan isu yang berlaku mutakhir ini, beberapa organisasi masyarakat sivil (CSO) telah melancarkan kempen Maaf Zahir Batin Hari Raya (#MZB365). Kempen ini sejajar dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjadi dasar kepada permulaan sebuah kehidupan baharu yang lebih baik selepas seseorang Muslim berjaya melalui Ramadan dengan keimanan dan kesungguhan beribadah.

Keampunan dan kedamaian sebagai lambang keihsanan adalah hasil yang dicita-citakan oleh setiap Muslim sebagai lambang kejayaan melaluinya. Kempen ini membawa semangat tersebut. Tambahan pula, setiap agama dan kebudayaan dalam negara ini turut mengangkat dua perkara tersebut sebagai cita-cita bersama yang mesti diperoleh dalam kehidupan. Sesungguhnya kempen tersebut amat diperlukan bagi membawa naratif bahawa keampunan dan kedamaian adalah amat mustahak bagi menjamin keutuhan dan kesepaduan rakyat pelbagai agama, budaya dan bangsa.

Mesejnya jelas iaitu keharmonian negara adalah perkara yang mesti dipertahankan habis-habisan agar konflik-konflik yang kini berlaku tidak bersemarak hingga menggugat keselamatan dalaman negara atau membawa kepada berulangnya peristiwa 13 Mei. Kebencian kaum dan agama mestilah disembuhkan dan ini memerlukan keihsanan untuk dipupuk secara berterusan.

Sokongan jitu diberikan oleh CSO seperti Projek Sama, Insaf, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Muslim Professional Forum (MFP) dan lain-lain menjadi saksi bahawa usaha sama semua pihak amat diperlukan untuk memupuk kembali nilai keihsanan yang semakin memudar. Bait Al Amanah menyokong penuh inisiatif yang dilancarkan kerana kami berkongsi sentimen yang sama demi kemaslahatan negara ini.

MEMAAFKAN
Saya masih teringat pesanan pembicara Wacana Intelektual anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dua tahun lalu yang menyatakan bahawa ucapan kebencian hanya boleh dihentikan kitarannya jika yang dibenci membalas dengan keampunan dan kedamaian.

Mengampunkan juga bukanlah bererti si pelaku itu tidak perlu dihukum, malah undang-undang wajar diperkasakan bagi menjamin kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat agar kes-kes tersebut boleh dielakkan daripada berlaku semula. Jenayah melibatkan 3R tidak boleh dikompromi dan penjenayah-penjenayahnya hendaklah menerima hukuman setimpal.

Selain itu, kefahaman yang benar tentang Perlembagaan, kebebasan asasi dan kepentingan menghayati hidup bersama dalam sesebuah masyarakat majmuk mestilah dipupuk sedari kecil lagi. Hal ini pastinya menuntut sosok ibu bapa sebagai teladan dalam hidup bermasyarakat manakala guru perlu menyampaikan kefahaman-kefahaman yang benar mengenai perkara diperikan. Keharmonian negara adalah mustahak bagi memastikan kemampanan dan kemajuan negara dalam pelbagai sudut.

Dalam upaya mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan mencapai cita-cita mewujudkan sebuah negara Madani, isu-isu seputar 3R tidak boleh diberikan ruang untuk timbul justeru nilai keihsanan amat penting untuk dipupuk dalam diri. Kempen #MZB365 yang dipelopori oleh pelbagai CSO adalah salah satu kaedah ampuh bagi memupuk keihsanan dan mestilah diberi sokongan jitu oleh semua.

Sepertimana kita mengharapkan keampunan dan kedamaian dikurniakan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, maka seperti itulah juga kita mesti mengampunkan dan mementingkan kedamaian demi membentuk kesepaduan masyarakat supaya keharmonian negara terjamin dan bayangan peristiwa 13 Mei boleh dijauhkan.-UTUSAN

PENULIS ialah Penyelidik di Bait Al Amanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×