PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan perkataan kontroversi ‘Alamak’ yang dipopularkan kumpulan De Fam belum tentu serapan asal daripada bahasa Arab.
Perkara itu diakui Ketua Pengarahnya, Dr. Hazami Jahari apabila ditanya Utusan Malaysia mengenai isu tular berhubung sejarah bermulanya perkataan ajuk spontan lama tersebut.
“Saya berpendapat bahawa apa yang disebutkan oleh segelintir warganet tempatan itu kemungkinan sekadar pandangan peribadi bebas masing-masing,” jelasnya secara ringkas.
Perkataan tersebut menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia malah ‘berjangkit’ pula di luar negara setelah lagu Alamak Raya Lagi popular ketika sambutan Hari Raya Puasa lepas.
Sehubungan itu, ramai pengguna media sosial tanah air berkongsi buku ‘Perubahan Bunyi dan Makna’ terbitan DBP pada 2016 yang turut mengupas asal-usul perkataan ‘Alamak’.
Buku setebal 134 halaman nukilan oleh Amat Juhari Moain dan Mohd. Saophy Amizul Wan Mansor itu menjelaskan ia serapan kalimah Allahu ma’aka bermaksud Allah bersama kamu.
Walau bagaimanapun, frasa motivasi bahasa Arab tersebut dipendekkan masyarakat Melayu sejak ratusan tahun dahulu sebagai ‘Alamak’ bagi merujuk situasi cemas atau terperanjat.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pihak DBP sendiri belum lagi melaksanakan sebarang kajian rapi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sejarah perkataan ‘Alamak’.
“Insya-Allah sekiranya sudah siap hasil penyelidikan tersebut, kita (DBP) akan tampil bagi membuat satu kenyataan rasmi pencerahan kepada masyarakat awam,” tambah beliau.
Lagu Alamak Raya Lagi dihasilkan bersempena peristiwa ‘Raya Terkejut’ pada 2022 lalu apabila umat Islam terperanjat mengetahui tarikh Aidilfitri jatuh esok dan bukannya lusa.
Single itu yang sepatutnya dilancarkan tahun lepas, mula disiarkan saluran perkongsian video sosial popular global, YouTube pada 8 Mac lalu dengan lebih 15 juta tontonan.
Rentaknya yang rancak dibawa oleh trio Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis itu menjadi sohor kini perayaan Aidilfitri kali ini sehingga tular ke beberapa negara luar. – UTUSAN











