SEREMBAN: Syarikat Ajinomoto (M) Bhd. (AMB) menjalinkan usahasama strategik bersama Malaysian Recycling Alliance (Marea) bagi memperkasakan usaha ke arah memupuk amalan kelestarian di Malaysia.
Pengarah Urusan AMB, Riichiro Osawa berkata, antara objektif utama usahasama tersebut adalah bagi menghasilkan pembangunan dasar lebih progresif selain menyumbangkan pandangan bagi mencipta persekitaran bersesuaian dengan pembangunan dan melaksanakan dasar Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang lebih efektif di negara ini.
Menurut beliau, ia juga bagi mengikut Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia pada tahun 2026 di mana pihak kerajaan akan melaksanakan program EPR ini secara mandatori.
“Sehingga itu program EPR ini adalah dilakukan secara sukarela. Oleh itu, AMB akan meneruskan tempoh kerjasama sehingga kerajaan melaksanakan program mandatori dan mengumumkan hala tuju yang seterusnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Strategik antara AMB dan Marea di Auditorium Kilang Ajinomoto @Bandar Enstek di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Marea, Roberto Benetello.
Riichiro dalam pada itu berkata, pihaknya turut berhasrat untuk ke hadapan dalam usaha ke arah kelestarian sama ada di Malaysia mahupun luar negara.
Menurutnya, program sukarela EPR dilihat sebagai langkah penting serta selari dengan hala tuju Ajinomoto Co. Inc. Jepun (Ajinomoto Co.) untuk mencapai sifar pembaziran plastik menjelang tahun 2030.
“AMB turut menyasarkan 100 peratus bahan pembungkusan yang boleh dikitar semula dalam tempoh dan pelan sama. Berikutan itu, kami komited untuk memperkasakan pihak berkepentingan serta orang ramai yang merangkumi pembekal, pekerja, pelanggan sehinggalah komuniti tempatan.
“Kolaborasi bersama Marea menjanjikan manfaat dan peluang yang lebih besar sama dalam memulakan program EPR mahupun meningkatkan impak sosial kami.
“Usaha AMB untuk melaksanakan program EPR ini selari dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Ajinomoto Co. menerusi Buku Panduan Projek Sifar dan keperluan negara,”katanya lagi.-UTUSAN.










