2 pengarah didakwa tipu urusan jual beli pasir RM1.2 juta

2 pengarah didakwa tipu urusan jual beli pasir RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat perlombongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan jual beli pasir melibatkan wang berjumlah RM1.2 juta, tujuh tahun lalu.

See Chew Hoon, 47, dan Ng Lee Teong, 55, bersama-sama Kok Chung Fui, 50, yang telah dituduh, didakwa dengan niat bersama menipu Loh Yee Meng, 43, dengan memperdayakannya dalam urusan perniagaan jual beli pasir.

Menurut pertuduhan, perbuatan itu mendorong lelaki tersebut menyerahkan wang sebanyak RM1.21 juta yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang di sini, antara 27 Ogos 2017 dan 26 Oktober 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memohon pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Datuk Joy W. Appukuttan mewakili dua tertuduh memohon jaminan RM20,000 kerana mereka perlu menanggung keluarga.

Hakim Datin Sabariah Othman yang menetapkan sebutan kes pada 23 Mei, membenarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mereka turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×