KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa nahas udara melibatkan dua helikopter yang bertembung dalam kejadian di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak awal pagi ini.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya berharap semua keluarga terlibat bersabar dan menerima kejadian itu sebagai takdir yang telah ditentukan oleh Allah.
“Cuma pada masa-masa akan datang tidak kira pertunjukan, raptai dan sebagainya perlu dipastikan agar tahap keselamatan betul-betul terjamin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majljs Rumah Terbuka Bersama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, pihaknya memberi jaminan akan bersama-sama TLDM untuk menghulurkan bantuan-bantuan perlu kepada semua keluarga terlibat kerana mereka ditimpa musibah.
“Kita akan berikan segala bentuk bantuan untuk meringankan beban semua keluarga mangsa-mangsa terlibat. Saya percaya ini sikap semua kerajaan negeri dan bukan Kelantan sahaja.
“Setakat ini belum dipastikan sama ada dalam kalangan mangsa terlibat itu ada yang berasal dari Kelantan atau negeri-negeri lain. Bersama-samalah kita menunggu maklumat selanjutnya,” ujarnya.
Utusan Online hari ini melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan 10 mangsa terkorban dalam kejadian dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung dan terhempas di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumpur, Manjung, Perak.
Menurut jabatan itu, dua helikopter milik TLDM iaitu M502-6 (FENNEX), dinaiki oleh tiga mangsa dan M503-3 (HOM), dinaiki oleh tujuh individu.
Komander Operasi Kanan, Suhaimy Mohd. Suhail berkata, pasukan bomba dari dua balai berhampiran iaitu BBP Seri Manjung dan BBP Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan kenderaan utiliti Toyota Hilux sejurus menerima panggilan kecemasan.
Kedua-dua helikopter telah bertembung ketika sedang melakukan latihan penerbangan. Kesemua 10 orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.
Usaha mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat di lokasi kejadian sedang dijalankan oleh pasukan bomba. – UTUSAN










