Strok haba: Anggota APM Pulau Pinang meninggal dunia selepas koma 44 hari - Utusan Malaysia

Strok haba: Anggota APM Pulau Pinang meninggal dunia selepas koma 44 hari

JENAZAH Allahyarham Muhammad Afiq dibawa pulang ke kampung halamannya di Balik Pulau, Pulau Pinang setelah selesai disolatkan di Surau Pejabat Pertahanan Awam Negeri Sembilan di Seremban, semalam.-GAMBAR/IHSAN APM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang meninggal dunia semalam akibat strok haba selepas koma sejak 9 Mac lalu ketika menjalani latihan di Port Dickson.

Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Nazri Mes Kam berkata, Allahyarham Muhammad Afiq Ammar, 25, sebelum itu dimasukkan ke Hospital Port Dickson sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, Allahyarham terpilih sebagai calon pemilihan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan telah memulakan latihan di Port Dickson bersama calon lain dari seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, semasa sesi larian dijalankan, Allahyarham telah rebah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi rawatan lanjut.  Selepas hari raya, keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot dan dipindahkan ke HTJS.

“Allahyarham kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas 44 hari menjalani rawatan di HTJS dan kami menguruskan jenazahnya untuk dibawa balik ke kampung halaman arwah di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, jenazah Allahyarham turut disolatkan di Surau Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Negeri Sembilan pukul 11 malam tadi sebelum dikebumikan di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Keluarga Allahyarham juga yang kita tempatkan di sebuah inap desa di Port Dickson sejurus kejadian tersebut sehinggalah semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan, beliau menyatakan aktiviti fizikal tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan serta turut disediakan kemudahan stesen air. 

“Bagaimanapun, kami kini mengurangkan aktiviti fizikal dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengadakan latihan di tempat redup,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini