KANGAR: Perikatan Nasional (PN) sedia menjadi galang ganti buat UMNO bagi mentadbir negeri dan negara ini dengan lebih baik pada masa hadapan.
Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, UMNO suatu ketika dahulu sememangnya menjadi parti pilihan utama, namun semua pihak harus menerima realiti bahawa setiap yang berada di atas pasti tidak akan kekal selamanya.
“Ini lumrah dalam kehidupan, apa yang naik pasti akan turun dan itu realiti yang harus diterima oleh semua. Oleh itu, PN sentiasa bersedia sebagai galang ganti yang lebih baik untuk mentadbir negara dan negeri selepas ini,” katanya.
Beliau mengulas artikel Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai UMNO senasib sabun cap kapak yang duhulunya terpaling popular namun kini telah jatuh reputasinya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri yang juga Menteri Besar berkata, berdasarkan maklum balas daripada beberapa pimpinan lama UMNO sebelum ini, parti Melayu itu gagal bertahan kerana terlalu selesa berada di atas sehingga melupakan dasar sebenar perjuangan mereka.
“Itu antara sebab yang saya rasakan kemerosotan sedang dihadapi oleh UMNO dan membuatkan parti itu tidak lagi menjadi pilihan utama,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, bagi pemerkasaan penyatuan ummah di Perlis, usaha itu tidak hanya terbuka buat UMNO semata-mata namun melibatkan semua parti.
Beliau berkata, mana-mana parti berteraskan bangsa atau berbilang kaum boleh bersama-sama penyatuan ummah demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Dalam konteks Perlis, Pas atau PN sememangnya terbuka kalau ada mana-mana parti ikhlas untuk bersama kami.
“Tapi untuk kerjasama di peringkat Persekutuan, perkara ini perlu dirujuk dengan kepimpinan pusat terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN











