PETALING JAYA: Pembaharuan cukai global dikhuatiri akan mendorong kepada percukaian berganda kepada perusahaan terlibat, lapor Tinjauan Cukai dan Harga Pemindahan Antarabangsa EY 2024.
Menurut laporan, pembaharuan cukai global, penggunaan teknologi yang tidak berkesan dan ketidaktentuan ekonomi memberi tekanan pada keupayaan harga pindahan perniagaan.
Katanya, sebanyak 86 peratus profesional penentuan harga pindahan Asia Tenggara (84 peratus peringkat global) mengatakan mereka berisiko dikenakan cukai dua kali kerana pembaharuan cukai global.
“Sebanyak 54 peratus daripada responden Asia Tenggara (75 peratus global) menyebut sistem yang berbeza dan penggunaan yang tidak berkesan teknologi sebagai cabaran utama.
“Risiko yang meningkat mendorong untuk kepastian harga pindahan,” katanya.
Tinjauan global terhadap 1,000 profesional harga pindahan dan pihak berkepentingan di 47 bidang kuasa, termasuk 35 dari Asia Tenggara tersebut mendapati responden menghadapi risiko cukai berganda yang sederhana atau ketara disebabkan pembaharuan cukai global.
Sebelum ini, kerajaan dijangka melaksanakan cukai minimum global pada 2025, yang hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa.
Pemimpin Harga Pemindahan EY Asean, Sockalingam Murugesan berkata, kerumitan dalam melaksanakan pembaharuan cukai global terus memberi kesan kepada jabatan cukai.
Katanya, dengan peningkatan risiko cukai berganda, mendapatkan kepastian adalah menjadi keutamaan.
“Ini memerlukan pivot asas daripada pertimbangan cukai kepada membina seberapa banyak kepastian yang mungkin ke dalam kedudukan harga pindahan, yang bermaksud bersikap proaktif yang mungkin dalam menangani kontroversi semasa dan yang dijangkakan.
“Selaras dengan ini, kami melihat peningkatan dalam pelanggan di seluruh Asia Tenggara yang memohon pengaturan harga lanjutan (APA) untuk mendapatkan kepastian harga pindahan dan peningkatan dalam prosedur persetujuan bersama di banyak pasaran di rantau ini untuk mengurangkan risiko cukai berganda,” ujarnya.
Jelasnya, harga pindahan ialah fungsi cukai yang kritikal untuk organisasi di seluruh dunia.
“Ia menyelia urus niaga korporat dalaman, termasuk pembayaran rentas sempadan antara anak syarikat, pajakan harta dan lesen harta intelek.
“Responden kepada kajian EY menunjukkan bahawa mereka kini memasuki tempoh ketidakstabilan kadar cukai yang berkesan, didorong faktor termasuk peralihan rantaian bekalan, pembaharuan cukai global dan inflasi,” jelasnya. – UTUSAN











