PADA 11 Mac 2013 Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri pada waktu itu mengumumkan pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13 bertemakan Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020 pengenalan satu sistem saraan baharu penjawat awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
Melalui STI ini, semua penjawat awam diberi faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 yang diawalkan pada 1 Julai 2013 manakala berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
Sejak tarikh itu, Perdana Menteri silih bertukar-ganti. Bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad antara 2018 dan 2020, diikuti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 2020 dan 2021 serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara 2021 dan 2022. Bagaimanapun tidak ada sebarang semakan atau pelarasan ke atas sistem saraan penjawat awam yang dibuat dalam tempoh ini.
Pemimpin Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyampaikan kepada Ismail Sabri dalam satu pertemuan pada 13 Jun 2022 permohonan pelaksanaan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama selain pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800 dan kenaikan dua tahap KGT.
Bagaimanapun, Ismail Sabri dalam ucapan pada MAPPA ke-18 pada 30 Ogos 2022 sekadar mengumumkan rancangan untuk memberi KGT tambahan khas sebanyak RM100 bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 bermula Januari 2023, yang mana rancangan ini akan membabitkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta memberi implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.
Walaupun begitu, rancangan ini tidak terlaksana setelah Ismail Sabri tidak lagi menjadi Perdana Menteri setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang menyaksikan kekalahan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada 19 November 2022. Begitu juga jawatan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan pada 12 Disember 2022.
Setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November 2022, manakala Datuk Dr. Zulkapli Mohamad dilantik sebagai KPPA baharu pada 27 Februari 2023, Anwar segera mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Cuepacs mengenai isu gaji penjawat awam serta hal berkaitan peningkatan kos sara hidup.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat, selepas pertemuan dengan Zulkapli pada 2 Mac 2023, menyatakan Cuepacs dimaklumkan Anwar sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam agar mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa dan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menyambut kenyataan Adnan ini, Anwar dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 6 Mac 2023 mengakui beliau tidak berpuas hati apabila melihat gaji semasa penjawat awam ketika ini serta memberi jaminan bahawa skim gaji kakitangan awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah.
Ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Mei 2023, Anwar mengumumkan sudah sampai masanya skim gaji penjawat awam dibuat penilaian semula. “Beri saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (kita akan laksanakan) adalah pelarasan skim gaji penjawat awam,” ujarnya.
Dalam Ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023, Anwar mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan sedang menyemak semula skim gaji penjawat awam yang kali terakhir dibuat pada 2012 di mana kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir 2024.
Sementara menunggu kajian ini lengkap, Anwar mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA pada akhir Februari 2024 sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Serentak itu, ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM pada 16 Oktober 2023 pula, Anwar mahukan Kajian SSPA disiapkan pertengahan 2024 untuk memastikan struktur gaji baharu penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan 2025.
“Tidak munasabah untuk mengharapkan prestasi yang meningkat tinggi tetapi kadar upah itu kurang”, ujarnya.
Dalam pada itu, perlantikan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan sebagai KPPA yang baharu menggantikan Zulkapli pada 9 Januari 2024, selain mewujudkan kembali suasana harmoni dalam kalangan penjawat awam, juga membantu mempercepatkan penyiapan Kajian SSPA.
Dengan Wan Ahmad Dahlan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, menyerahkan Laporan Interim 1 Kajian SSPA kepada Anwar dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian SSPA pada 19 Januari lalu, Anwar berkata proses penyiapannya akan dipercepatkan dengan tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.
GAJI BAHARU
Paling mutakhir, pada 19 April lalu, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian SSPA, Anwar menyatakan penambahbaikan struktur gaji penjawat awam ini akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja pada 1 Mei depan.
“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Sesungguhnya semakan atau pelarasan ke atas sistem saraan penjawat awam yang akan diumumkan ini adalah satu lonjakan besar ke atas penjawat awam. Ia juga adalah bukti Anwar menepati janji yang dilafazkannya.
Pada 1 Mei 2023, Anwar meminta diberi tempoh setahun untuk menguruskan hal ini dan pada 1 Mei ini, genap setahun tempoh diminta, ia akan diumumkan.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohamed Anwar Omar Din adalah Profesor Adjung di Asian e University (AeU), Subang Jaya.










