KUALA SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) optimis pengundi muda akan memberi sokongan penuh kepada calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ketua Penerangan Srikandinya, Nurul Syazwani Noh berkata, sambutan positif golongan itu dapat dilihat menerusi pelbagai program yang dianjurkan di kawasan berkenaan.
“Apabila turun mendekati pengundi muda, kita (parti) boleh nampak mereka bersama menyatakan sokongan kepada PN.
“Namun, kita tidak boleh berasa terlalu selesa dan perlu lebih mendekati mereka ketika berkempen kelak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Pasir Penambang, semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang itu, semua jentera termasuk Srikandi perlu terus berusaha bagi memenangi hati pengundi.
“Kita kena bekerja kuat walaupun dua DUN di Parlimen Hulu Selangor iaitu DUN Batang Kali dan Hulu Bernam dimenangi PN. Tumpuan juga perlu difokuskan kepada pengundi di saluran satu bagi memastikan kemenangan pada PRK kali ini,” ujarnya.
Tambah beliau, semua Srikandi di seluruh bahagian negeri ini telah dikerah bagi membantu jentera dan kempen di semua 16 pusat daerah mengundi (PDM).
“Kami juga merangka beberapa program bagi menambat hati pengundi di DUN berkenaan.
“Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu, kita mungkin tidak mendekati pengundi di sana, namun kali ini tumpuan sepenuhnya akan digerakkan bagi meraih sokongan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul turut mengesahkan pelantikan menjaga portfolio perundangan dan pusat panggilan PN pada PRK tersebut.
“Perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat dengan Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Selangor baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










