Bantu parti yang sudah bantu kita – Tok Mat

Bantu parti yang sudah bantu kita – Tok Mat

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan tetamu dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban semalam. – mingguan/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membantu calon parti kerajaan yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana BN menghormati sistem yang telah diperakukan sebelum ini bahawa parti pe­nyandang dalam Kerajaan Perpaduan akan diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada PRK berkenaan.

“Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU), kita boleh tukar-tukar kerusi, tapi bila ada kematian kita bagi peluang kepada parti pemegang jawatan untuk meletakkan calon.

“Sepatutnya kita perlu bantu kerana orang dah bantu kita, kita bantu pula rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ini cuma untuk kita pastikan supaya urusan pentadbiran menghadapi PRK ini dapat di­urus dengan baik,” katanya kepada pembe­rita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dijangka dihadiri 40,000 tetamu di kediamannya di Rantau di sini, semalam.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian bagi mengulas tindakan MCA dan MIC yang memaklumkan tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan bukan daripada BN.

Beliau dalam pada itu berkata, tidak sepatutnya timbul ada pihak dalam Kerajaan Perpa­duan yang enggan membantu kempen PRK berkenaan.

“Itu tidak cantik nampaknya, kita bukannya bergabung sebaliknya membantu. Setakat membantu sebagai rakan di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Namun berhubung ­hasrat MCA dan MIC yang enggan berkempen, kita akan uruskan perkara itu dalam BN sebab dulu semasa di Johor (PRK Parlimen Pulai, PRK DUN Simpang Je­ram), Parti Amanah bertanding dan kita bantu.

“Apabila PRK Pelangai yang ditandingi BN (UMNO), semua parti dalam Kerajaan Perpaduan juga membantu bersama. Kini timbul giliran DAP yang mana mereka adalah pemegang jawatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang menetapkan parti komponen BN itu tidak akan berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Seong berkata, keputusan yang diputuskan itu adalah sebulat suara.

“Keputusan yang dibuat MCA adalah secara kolektif dan sa­ngat jelas. Sudah memadai dan saya tidak perlu mengulas lebih lanjut, ”katanya.

Ka Siong turut berkata, pendirian itu juga telah dinyatakan di semua peringkat termasuklah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, MIC yang juga parti komponen BN juga di­katakan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran dilaporkan berkata MIC akan mempertimbangkan untuk membantu sekiranya terdapat permintaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×