Niat saya bukan untuk berkempen - Kor Ming

Niat saya bukan untuk berkempen – Kor Ming

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan niatnya memberi peruntukan RM5.21 juta dalam satu program di Kuala Kubu Bharu bukan tujuan ‘berkempen’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 11 Mei ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, pemberian peruntukan berkenaan jauh sekali untuk meraih perhatian pengundi di kawasan itu supaya memilih calon daripada Pakatan Harapan (PH) – DAP yang bakal diumum nanti.

Katanya, beliau hanya menumpukan kepada tanggungjawab untuk berkhidmat dan memberi yang terbaik untuk rakyat termasuk penduduk di Kuala Kubu Bharu.

“Sekarang pun bukan waktu berkempen. Apa pun pandangan orang ramai terhadap saya setelah memberi peruntukan ini, niat saya adalah baik. Tiada tujuan tersembunyi walaupun kita sedang menuju pilihan raya.

“Sama seperti di kawasan lain, penduduk Kuala Kubu Bharu juga wajar mendapat kemudahan dan pembangunan yang selayaknya dan sekurang-kurangnya, usaha kecil saya ini dapat menyumbang kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khamis lalu, Kor Ming dalam lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.

Peruntukan itu melibatkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksana oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.16 juta disalur melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor.

Projek itu termasuk membaiki dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid berhadapan Pejabat Pos, Kuala Kubu Bharu; Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor; tandas astaka Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu; tandas Padang B Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu dan tandas Taman Awam Jejarum di Bukit Beruntung.

Bagaimanapun, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai tidak beretika kerana ia dilihat bercanggah dengan prinsip perlawanan politik yang sama rata dalam pilihan raya.

“Bersih melihat pengumuman ini melanggar garis panduan Larangan 3C: No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) yang digaris Bersih sejak Pilihan Raya Negeri 2023,” katanya.

Pas pula menggesa pimpinan tertinggi DAP mengambik tindakan tatatertib terhadap Kor Ming yang didakwa menggunakan kedudukannya meluluskan dana demi kepentingan politik pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han mempertahan Kor Ming yang disifatkan sebagai amalan biasa pentadbiran dan tidak mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Bharu, malah dibuat bukan dalam tempoh kempen. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×