PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar semakin mencerahkan peluang untuk memburu penampilan pertamanya pada Kejohanan Dunia, selepas menempah slot separuh akhir pada Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.
Addeen yang menghuni ranking ke-66 dunia, bagaimanapun, dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas rakan senegara, Darren Rahul Pragasam 4-12, 7-11, 11-4, 9-11, 11-4 dalam masa 74 minit.
Pemain berusia 30 tahun itu menyimpan impian besar tersebut dan selepas 12 tahun, dia tidak rela lagi peluang itu terlepas daripada genggamannya.
“Saya patut habiskan perlawanan dalam set ketiga, tetapi Rahul memang bermain dengan bagus, hari ini.
“Silap saya membiarkan dia mengatasi ketika saya sedang mendahului.
“Apa pun saya kekalkan dengan strategi permainan saya dan saya tahu saya lebih cergas daripadanya dan saya gunakan segala kelebihan yang ada untuk melakar kemenangan,” kata Addeen ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Impian seorang lagi wakil negara, Mohamad Syafiq Kamal untuk mengejutkan pilihan ketiga, Tan Ming Hong dari Hong Kong tidak kesampaian apabila tewas tipis selepas berentap selama 78 minit.
Syafiq, 27, berjaya menghadirkan tentangan sengit kepada Ming Hong, tetapi, gara-gara kehilangan fokus ketika beraksi dalam set penentuan telah menyebabkan dia berputih mata untuk ke separuh akhir apabila tewas 11-7, 5-11, 11-7, 8-11, 9-11.
Kekalahan itu menyaksikan Addeen yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal berdepan Ming Hong pada separuh akhir, esok.
Terdahulu, dalam satu lagi pertembungan sesama Malaysia, Bryan Tze berjaya mengatasi rakan senegara, Ong Sai Hung 11-8, 9-11, 6-11, 11-4, 11-6.
Laluan getir menanti Bryan, 28, apabila dia bakal menghitung pertemuan dengan pilihan pertama, Ryunosuke Tsukue dari Jepun, esok.
Sementara itu, dalam saingan wanita, Chan Yi Wen turut meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya selepas menumpaskan wakil Hong Kong, Fung Ching Hei 11-9, 8-11, 11-3, 11-9 dalam masa 40 minit.
“Dia berikan tentangan sengit kepada saya dalam pertemuan kali ini, tetapi saya lega kerana dapat bertahan, dalam set kedua saya gagal beri tumpuan, namun, teguran jurulatih menyedarkan saya untuk bangkit.
“Untuk lawan saya, esok, saya kerap menentang pilihan pertama, Chen Nga Ching ketika zaman remaja, tetapi itu adalah kisah lama.
“Apa pun saya masih perlu bersiap sedia, saya amat arif dengan gaya permainan pemain Hong Kong dan saya harap dapat mencatat keputusan yang baik, esok,” kata Yi Wen.
Nga Ching menempah tempat ke separuh akhir selepas mengetepikan seorang lagi wakil negara, Yu Jie 11-9, 11-6, 11-7.Seorang lagi wakil Malaysia, Sehveetrraa Kumar akan beraksi menentang Toby Sze dari Hong Kong, esok selepas melakar kejutan ke atas pilihan kedua dari India, Akanksha Salunkhe 11-6, 11-5, 11-8 dalam masa 38 minit. – UTUSAN










