BAGAN DATUK: Parti politik dalam Kerajaan Perpaduan ada kaedah tersendiri bagi membantu calon kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Rabu lalu telah bersetuju meletakkan calon Kerajaan Perpaduan.
“Dan tentunya semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan kaedah tersendiri untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini malam ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditanya mengenai keputusan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang membuat keputusan tidak akan menyertai kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor itu.
Hari ini, media melaporkan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dan Presiden MIC, Tan Sri A. Vigneswaran menyatakan kedua-dua parti tidak akan menyertai kempen PRK tersebut jika calon bukan daripada BN.
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu.
Sehari selepas itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu BN tidak akan menuntut kerusi DUN yang mempunyai pengundi majoriti Melayu itu sebaliknya memberi laluan kepada DAP bagi mempertahankan kerusi tersebut. – UTUSAN










