MELAKA: Spekulasi membabitkan tiga bekas Ketua UMNO Bahagian di negeri ini yang dikatakan bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula kedengaran sejak kelmarin.
Ia susulan sekeping gambar dikongsikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga pemimpin UMNO berkenaan.
Mereka ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman dan bekas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Mohd. Yadzil yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelaskan, gambar tersebut diambil di kediaman bekas Perdana Menteri di ibu negara baru-baru ini.
Katanya, tiada sebarang perbincangan berkaitan kemasukan ketiga-tiga pemimpin itu, sebaliknya ia pertemuan tidak dirancang ketika ziarah Hari Raya Aidilfitri.
Ditanya kesediaan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk menerima kemasukan mereka, Mohd. Yadzil berkata, pihaknya terbuka dan mengalu-alukan penyertaan sesiapa sahaja ke dalam parti.
“Macam kita sekarang pendaftaran ahli secara dalam talian, kalau hendak jadi ahli bila-bila masa boleh jadi ahli.
“Dalam perlembagaan parti pun tidak ada menghalang sesiapa untuk jadi ahli. Saya sebagai pengerusi negeri mengalu-alukan sesiapa yang hendak bersama dengan satu hala tuju yang sama,” katanya.
Dalam Pemilihan UMNO 2023, Mohamad Ali tewas di tangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian manakala Hasan ditewaskan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Rospandi kalah kepada ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Rais, Muhamad Akmal dan Fairul Nizam merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. – UTUSAN







