Nafi UMNO senasib sabun cap kapak

Nafi UMNO senasib sabun cap kapak

RUZAINI RAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Prestasi buruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini adalah satu wake up call dan banyak menye­darkan parti itu untuk bangkit semula meraih sokongan rakyat.

Di peringkat pucuk pimpinan parti juga telah mengambil tindakan proaktif dan kehadapan walaupun ada mencemuh, namun lebih ramai menyokong tindakan nakhoda UMNO yang telah mengambil keputusan terbaik dengan menjunjung kasih seruan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ketika membentuk kerajaan Perpaduan.

Di peringkat akar umbi juga merasakan pelbagai perubahan telah pun diambil oleh pucuk pimpinan antaranya mereka yang tidak setia serta gagal mengikuti disiplin parti telah pun terkeluar daripada barisan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, UMNO tidak diminati adalah kerana permainan persepsi jahat yang berterusan dimainkan oleh pihak lawan yang memberi gambaran buruk terhadap parti itu.

Kata beliau, hakikatnya, UMNO adalah parti yang cukup berjasa kepada rakyat melalui segala dasar-dasar yang telah dilaksanakan di dalam pentadbiran negara dan juga peringkat negeri pada masa dahulu dan kini.

“Pihak parti lawan menjadikan kelompongan-kelompongan kecil dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada ketika itu sebagai senjata untuk menyerang habis habisan walhal mereka di sebelah sana juga penuh dengan kes-kes yang sedang berbangkit.

“Selepas PRU-15 menyaksikan beberapa negeri telah berada di bawah kekuasaan parti lawan, namun dapat dilihat kelemahan-kelemahan yang sedang mereka catatkan semakin jelas dan tidak terbendung lagi.

“Inilah yang dapat diperhatikan, kelemahan-kelemahan semasa pihak lawan mengkritik sebelum ini banyak yang tidak boleh dilakukan oleh mereka malahan lebih teruk lagi sebenarnya,” katanya.

Beliau mengulas artikel Utusan Malaysia baru-baru ini me­ngenai UMNO senasib sabun cap kapak yang yang duhulunya terpaling popular namun kini telah jatuh reputasinya.

Mengulas lanjut, Ruzaini berkata, meskipun UMNO dilabel dengan bermacam gelaran yang negatif tugas kebajikan kepada rakyat tetap diutamakan oleh para pemimpinnya.

“Jangan lupa, Islam, Melayu dan negara adalah asas penubuhan parti UMNO. Dalam apa keadaan sekalipun, UMNO tidak pernah meminggirkan asas perjuangan ini.

“Ini dapat dibuktikan melalui suara lantang UMNO dalam memperjuangkan perkara 3R (agama, raja dan kaum) yang telah termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

“Percayalah, suatu masa nanti rakyat kembali akan memberi sokongan kepada UMNO di atas segala kebaikan telah dibuat dengan istiqamah walaupun dicemuh dan difitnah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×