BEIRUT: Serangan tiga dron Israel semalam didakwa menyasarkan kedudukan tentera di selatan Syria, kata kerajaan Syria dan seorang pemantau manakala media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Israel menyerang musuh ketatnya, Iran.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Syria berkata, Israel melakukan serangan menggunakan peluru berpandu menyasarkan tapak pertahanan udara mereka di wilayah selatan dan menyebabkan beberapa kerosakan.
Pemantau perang, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, Israel menyasarkan kedudukan radar tentera Syria di wilayah selatan Daraa yang berjaya mengesan kemasukan pesawat Israel ke ruang udara negara itu.
Bagaimanapun, ketua badan itu yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman berkata, serangan berkenaan berlaku pada masa tentera udara Israel terbang secara intensif di atas udara wilayah Daraa tanpa tindak balas pertahanan udara Syria.
Tentera Israel dikatakan melakukan ratusan serangan di Syria sejak 2011, menyasarkan tentera dan pejuang yang disokong Iran.
Tetapi, serangan itu meningkat sejak perang Israel dengan kumpulan Hamas yang disokong Iran di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.
Pengendali laman web baharu antikerajaan Suwayda24, Rayan Maarouf, memberitahu AFP, terdapat serangan ke atas kedudukan radar tentera Syria di wilayah Sweida, tanpa mengetahui asal-usul mereka.
Bagaimanapun, serangan terbaru dilaporkan berlaku pada awal pagi semalam di tengah Iran dengan pegawai kanan AS melaporkan ia adalah serangan Israel.
Agensi berita Fars Iran melaporkan tiga letupan berhampiran pangkalan tentera di wilayah Isfahan.
Bagaimanapun, agensi berita rasmi Iran, IRNA berkata tiada kerosakan besar berlaku.
Israel memberi amaran akan bertindak balas selepas Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke atas Israel pada 13 April lalu.
Ia merupakan tindakan balas terhadap serangan maut ke atas konsulat Iran di Damsyik. –AFP











