NUBE dakwa Steven Sim salah guna kuasa

NUBE dakwa Steven Sim salah guna kuasa

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) melalui lima cawangannya secara serentak membuat laporan polis, semalam terhadap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong selepas mendakwa beliau menyalahguna kuasa.

NUBE dalam satu kenyataan mendakwa Steven Sim secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa penge­tahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan NUBE berkenaan dengan pembayaran Bantuan Perayaan tahun ini.

Menurutnya, NUBE sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) pada 5 April 2023 dengan MCBA yang menetapkan bank perlu membayar gaji sebulan sebagai Bantuan Perayaan kepada ahli-ahlinya.

“Meskipun proses runding-damai masih berlangsung, Menteri (Steven Sim) tanpa pengetahuan dan persetujuan NUBE telah campur tangan, bekerjasama de­ngan MCBA dan mengarahkan bank untuk membayar hanya separuh gaji bulanan kepada ahli-ahli klerikal dan klerikal khas NUBE, bertentangan dengan MoA.

“Lebih menyedihkan, Menteri telah bersetuju dengan MCBA bahawa pembayaran ini akan menjadi pembayaran sekali sahaja untuk semua kategori ahli NUBE,” katanya.

Mengulas lanjut, NUBE berkata, tindakan Steven Sim itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau dan menindas ahli-ahlinya ekoran MCBA dengan kuasa Menteri bertindak bertentangan dengan MoA.

Jelasnya, kira-kira 15,000 pekerja bank dalam kategori B40 dan M40 mengalami kerugian kerana dinafikan haknya.

“Kami berasa dikhianati oleh Menteri Sumber Manusia yang sepatutnya melindungi kepenti­ngan pekerja. Sebagai Menteri, Steven Sim sepatutnya melibatkan semua pihak dalam sebuah pertikaian ketika membincangkan hal berkaitan pertikaian tersebut.

“Namun, beliau telah gagal melakukan demikian, hanya berbincang dengan MCBA dan mengabaikan NUBE. Ini secara tidak adil telah mempengaruhi hak-hak ahli NUBE,” katanya.

Tambahnya, kini pihak NUBE kehilangan kepercayaan terhadap Steven Sim.

“Jelas bahawa ucapan Steven Sim yang ingin meningkatkan kerjasama dengan kesatuan sekerja adalah hanya lakonan atau ‘sandiwara KESUMA’.

“Perbuatannya itu seakan peribahasa Melayu ‘api dalam sekam’ dan kedudukan kami seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim enggan mengulas dakwaan beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang menteri seperti mana didakwa oleh NUBE.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, perkara tersebut sudah pun dipanjangkan untuk perbicaraan di mahkamah perusahaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Saya tidak mahu komen (lanjut) tentang isu ini sebab ia dah masuk ke dalam kes mahkamah,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×