KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa Majlis Peguam mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana peguam yang gagal melaksanakan tanggungjawab guaman mereka sehingga mencemarkan imej profesion itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ini berikutan pihaknya mendapati pembabitan golongan tersebut dalam kegiatan menipu bagi urusan jual beli tanah.
Katanya, terbaharu, siasatan polis mendapati seorang peguam berusia 61 tahun yang dilantik oleh pemilik hartanah untuk menguruskan penjualan lot tanah di Miri, Sarawak kepada sepasang suami isteri.
“Bagaimanapun, suspek tanpa pengetahuan pemilik tanah itu telah didakwa turut menjual lot tanah sama kepada sebuah syarikat.
“Tindakan suspek telah mengakibatkan kedua-dua pembeli menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.1 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, hari ini.
Tambahnya, suspek didakwa di mahkamah pada 2 April lalu di Mahkamah Majistret Miri atas tujuh pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah secara bertindih melibatkan kerugian RM1.1 juta.
Berikutan itu katanya, polis menggesa Majlis Peguam untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana peguam yang didapati melanggar etika profesion guaman dengan terlibat dalam jenayah sebegini.
“Peguam seharusnya sentiasa bertindak jujur dan berintegriti dalam apa jua tindakan yang dilakukan.
“Tindakan segelintir peguam yang tidak beretika seperti ini mencemarkan imej dan nama naik golongan tersebut,” ujarnya lagi. – UTUSAN









