PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki selepas melarikan diri dari pemeriksaan polis di Jalan Taman Bukit Indah, Ampang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, suspek yang menaiki kereta jenis Volkswagen Passat dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum diarah berhenti oleh anggota kereta peronda polis (MPV).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, suspek bagaimanapun bertindak memecut kenderaan menghala ke arah Kuala Lumpur, memaksa unit MPV mengejar kenderaan terbabit sambil meminta bantuan hebahan daripada Pusat Kawalan Daerah.
Katanya, kenderaan terbabit berjaya ditahan di Jalan bypass Serendah menghala Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek bertindak nekad melarikan diri kerana membawa bekalan dadah disyaki heroin dan syabu
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu turut menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Anuar berkata, susulan penahanan itu, kedua-dua suspek yang juga lelaki warga tempatan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya pagi ini dan dibenarkan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki peralatan pecah rumah,” jelasnya. – UTUSAN










