KUALA LUMPUR: Seramai 10 termasuk tiga lelaki warga asing yang direman kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom ditahan semula bagi siasatan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sepuluh individu itu merupakan 18 orang yang siasat termasuk suspek utama iaitu Avitan dan pasangan suami isteri yang telah pun dituduh di mahkamah minggu lalu.
Manakala lima lagi telah pun dibebaskan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, 10 mereka sebelum ini telah direman bagi siasatan lanjut di bawah akta senjata api.
Namun, kata beliau, reman mereka telah tamat pada 16 April lalu dan semalam sebelum disambung reman di bawah akta mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.
“Kita tahan 28 hari lagi bagi siasatan mengikut Sosma,”katanya selepas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Utusan Malaysia sebelum ini, pertuduhan ke atas lelaki Israel itu adalah bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
İni bermakna, orang kena tuduh (OKT) akan ditahan dalam penjara dan berada di bawah kawalan pihak Jabatan Penjara Malaysia sehingga perbicaraan selesai.
Terdahulu, Avitan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.
Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang 28 Mac lalu, di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Sebelum ini, lelaki warga Israel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.
Tertuduh, Avitan mengangguk faham sebelum membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan enam pistol membabitkan Glock 19 USA, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson Spring Field, Sig Sauer P3205P, Stoeger Cougar 8000F serta Cougar 8000FT di bilik hotel di Jalan Ampang di sini, pada 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi lapan butir peluru serta tiga kotak Bullet Master Co Ltd (B660105) masing-masing mengandungi 50 peluru di bilik hotel, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam, Navinjit Singh.
Semasa prosiding, Mohamad Mustafa tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan itu berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin dengan pihak pembelaan tiada bantahan.
Pada 27 Mac lalu, lelaki itu warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di hotel terbabit selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.
Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.
Lelaki yang menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya. – UTUSAN










