Betulkan niat hadir rumah terbuka

Betulkan niat hadir rumah terbuka

JAGA adab dan wujudkan suasana selesa dengan tuan rumah ketika menghadiri rumah terbuka adalah amalan mulia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan seharian, adakalanya kita tidak memberi perhatian terhadap niat. Antara sebabnya, amalan atau perbuatan itu biasa atau selalu dilakukan. Sehingga ia menjadi adat. Walhal, niat adalah perkara yang penting kerana ia akan menentukan halatuju perbuatan kita.

Niat tidak dapat dipisahkan daripada setiap perbuatan kita. Perhatikan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. (Riwayat Bukhari)

Demikianlah, dalam kita meraikan jemputan sahabat handai dan rakan-taulan sempena Hari Raya Aidilfitri, barangkali ramai yang terlupa berniat untuk merapatkan ukhuwah dan silaturahim.

Rugilah, jika sekadar hadir ke rumah-rumah terbuka untuk makan dan minum tetapi tidak dapat menjadikan perbuatan itu mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Tanpa niat, perbuatan kita hanya jadi adat, bukan ibadat.

Sedangkan, kita disuruh untuk hidup dengan menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kaum kerabat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’: 1)

Antara sunnah menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah berjalan kaki ke masjid dan balik daripadanya melalui jalan yang lain. Ini bermaksud dianjurkan untuk ziarah menziarahi sesama saudara seIslam selepas selesai solat sunat Aidilfitri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Pentingnya orang mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim itu akan mendatangkan kebaikan selain rezeki yang murah.

Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik.

Bahkan, orang yang tidak mengendahkan menjaga hubungan sesama manusia umpama tidak mengendahkan seruan Nabi Muhammad SAW dan suruhan Allah SWT.

Sebagai orang Islam, menjadi tuntutan untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan kerana apa sahaja perbuatan dan perlakuan di dunia ini ada kaitannya dengan akhirat.

Seorang yang membina persaudaraan kerana Allah SWT juga akan dipelihara hubungan kesatuan sesama manusia di akhirat.

Ingatlah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang). (Riwayat Bukhari)

Menjaga silaturahim ini pula bukan terhad kepada menjaga hubungan sesama yang mahu bersahabat.

Sebaliknya ia merangkumi individu atau pihak yang mahu memutuskan silaturahim.

Ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Bukanlah orang yang menyambung silaturahim itu orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal dengan apa yang dilakukan kepadanya, akan tetapi orang yang menyambung silaturahim itu ialah orang yang jika ada pihak memutuskan hubungan dengannya maka dia akan bertindak untuk menyambungkannya. (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, jika kita bersengketa adik-beradik atau sahabat handai, ambillah semangat Aidilfitri untuk menyambung semula hubungan yang keruh dan putus.

Resmi manusia, tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Ambillah peluang dan kesempatan yang diberi oleh Allah ini untuk saling bermaafan. Kata pepatah Melayu, “buang yang keruh ambil yang jernih”.

Jangan dipanjangkan sengketa kerana ia hanya membawa duka dan keluarga jadi porak-peranda. Contohilah watak Abdul Wahub dalam filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Walaupun sering diperlekeh termasuk disisihkan daripada mendapat harta pusaka oleh abangnya Abdul Wahab dan Abdul Wahib, Abdul Wahub tetap menyambung silaturahim dengan membebaskan abang-abangnya daripada menjadi hamba ketika itu.

Ingatlah kesempurnaan iman seseorang tidak hanya setakat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, bahkan menjaga hubungan sesama Mukmin juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman.
Dalam menghadiri rumah terbuka dan kunjung-mengunjung, hendaklah kita menjaga adab-adab supaya tidak menyusahkan tuan rumah.

Wujudkan suasana selesa dan tuan rumah juga senang menerima kita sebagai tetamu.

Pertama: Memberi salam
Adab sebagai tetamu perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar. (Riwayat Muslim)
Jika selepas tiga kali memberi salam, tidak juga dijawab oleh tuan rumah, pulanglah. Ini kerana tuan rumah tidak bersedia menerima tetamu pada waktu itu dan janganlah kita marah.

Kedua: Berjabat tangan
Selaku tetamu digalakkan untuk kita bersalaman dengan tuan rumah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah” (Riwayat Ibn Majah)

Namun amalan berjabat tangan ini perlulah dilakukan dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja.

Jangan pula bebas bersalaman dengan yang bukan mahram. Ingatlah amaran Nabi SAW tentang hal ini dalam hadis baginda yang bermaksud: Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu. (Riwayat Al-Tabrani)

Ketiga: Ziarah dalam waktu yang sesuai
Kunjungan perlulah dilakukan pada waktu yang sesuai. Islam menegah kita membuat kunjungan pada tiga waktu iaitu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana dikhuatiri akan mengganggu tuan rumah beristirahat. Seterusnya mewujudkan suasana kurang harmoni untuk menyambut kehadiran kita.

Kempat: Jangan duduk terlalu lama
Adab bagi mereka yang bertandang perlu dijaga agar tidak menyulitkan dan menyusahkan tuan rumah.

Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi sekiranya dia menerima banyak kunjungan pada hari itu.

Kelima: Jaga tingkah laku dan pandangan
Sebagai tetamu, perlulah menjaga serta mengawal pandangan dan tingkah laku. Ini kerana seorang tetamu tidak seharusnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain.

Tetamu yang tidak memelihara adab tertib akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.

Rasulullah SAW. menyarankan kita duduk di tempat yang telah dikhaskan oleh tuan rumah apabila berziarah.

Ini dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka. (Riwayat Muslim)

Bagi yang membawa anak-anak, pesan supaya menjaga tingkah-laku dan tidak lari ke sana ke sini semasa beraya di rumah orang.

Seperkara lagi, jangan jadikan beraya itu tujuan kutip duit raya. Kalau itulah niatnya, maka itu sahajalah yang kita akan dapat.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×