Boikot tanda peringatan pengguna tidak boleh dibuli

Boikot tanda peringatan pengguna tidak boleh dibuli

PERBELANJAAN domestik negara dijangka meningkat susulan pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP dan kenaikan gaji penjawat awam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG bulan Ramadan yang lalu, masyarakat di seluruh dunia berdukacita menyaksikan pembantaian berterusan terhadap masyarakat Palestin oleh penjajah Israel.

Saban hari di setiap platform media diberitakan jumlah korban nyawa terkini akibat ‘penyembelihan’ yang berlaku dilakukan oleh pengganas Israel. Lebih-lebih lagi apabila Israel dilihat menumpukan serangan ke atas kanak-kanak dan wanita dalam misi pembantaian mereka.

Cuma kali ini masyarakat dunia senada dalam mempertahankan nyawa rakyat Palestin dan mengecam Israel serta sekutu-sekutunya. Kelihatan rejim Zionis ini tidak boleh lagi diberikan layanan manusiawi. Kesan penentangan terhadap mereka hangat dirasai apabila produk berkaitan Israel dan sekutu diboikot di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Kuasa boikot masyarakat dunia dilihat berkesan dan keuntungan beberapa syarikat besar yang menyokong rejim Zionis mulai mengucup.

Sedangkan di Malaysia pula terdapat beberapa insiden yang berkait dengan penghinaan terhadap kalimah Allah dilaporkan. Keseriusan insiden ini diperlihatkan apabila pemilik syarikat didakwa di mahkamah di bawah seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan.

Tidak perlu dihuraikan lebih lanjut insiden ini memandangkan wujud pendakwaan terhadap syarikat yang terlibat. Cuma yang perlu diserlahkan dan diketengahkan bagaimana ketika insiden stoking yang tertera kalimah Allah diwacanakan, kedai serbaneka terbabit diboikot oleh pengguna-pengguna sebagai tanda protes sehinggakan pemilik syarikat memohon maaf secara terbuka.

Malangnya beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadan, timbul pula aduan terhadap sebuah reka bentuk kasut yang dikatakan turut melibatkan penghinaan kalimah Allah. Isu ini menjadi perhatian apabila seorang guru wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang membuat laporan polis berkenaan corak tulisan yang menyamai kalimah Allah di bahagian tapak kasut.

Susulan daripada aduan ini, pelbagai pihak menggesa syarikat kasut berkenaan untuk membuat penjelasan berkenaan isu ini.

Syarikat terbabit antaranya menjelaskan bahawa logo berkenaan tidak bertujuan untuk memperlekeh atau menghina agama sebaliknya ia diilhamkan daripada bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi. Pihak syarikat juga mengambil tindakan menghentikan penjualan kasut ini.

Pihak polis menyatakan akan memanggil penjual, pengusaha dan pengeluar jenama kasut ini untuk membantu siasatan dan sebanyak 1,145 pasang kasut dirampas.

Persoalan sama ada logo tersebut adalah kalimah Allah atau tidak adalah persoalan yang akan diputuskan melalui siasatan pihak berkuasa. Yang mustahak untuk dijadikan pengajaran adalah pihak pengeluar harus lebih berhati-hati dalam pengeluaran produk supaya tidak menyinggung mana-mana agama, khususnya di bumi Malaysia yang rencam budaya ini.

Meskipun terdapat suara sumbang yang memerli ‘ketelitian’ pengguna dalam insiden ini namun ia adalah hak pengguna untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka. Isu ini bukanlah pertembungan antara kaum sebaliknya melibatkan pertembungan antara tahap sensitiviti pemilik perniagaan dan hak pengguna.

Dua insiden ini merupakan petanda bahawa kesedaran berkenaan hak pengguna adalah tinggi dalam kalangan rakyat terutamanya golongan wanita.

KUASA WANITA
Ketelitian yang ada pada wanita dalam melihat sesuatu reka bentuk produk memberikan manfaat dan kelebihan pemeliharaan hak pengguna secara menyeluruh di Malaysia. Apa-apa boikot kepada jenama, kedai mahupun perniagaan seperti yang berlaku secara massa terhadap jenama mesra Israel atau mana-mana produk berupaya memberikan kesan yang signifikan kepada jenama atau produk tersebut.

Kepekaan golongan wanita dalam urusan perbelanjaan harian termasuklah dalam perihal jenama, kualiti mahupun harga akan meletakkan keadaan berjaga-jaga oleh pengeluar supaya penghasilan produk dibuat dengan lebih berhati-hati.

Aktivisme kepenggunaan di Malaysia masih lagi belum mencapai tahap sebagaimana di negara-negara luar. Namun insiden demi insiden yang besar seperti pembataian orang Palestin menjadi pemangkin kesedaran pengguna yang boleh memanfaatkan kuasa beli yang ada pada mereka.

Sebenarnya banyak insiden boikot yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pengguna ini. Cuma ia bersifat sementara dan dalam skala yang kecil serta tidak didedahkan.

Sekiranya gaya boikot ini berterusan, mana-mana perniagaan akan mula berhati-hati dan tuntutan untuk mengeluarkan produk yang lebih berkualiti, baik serta berpadanan dengan harga dapat dilakukan.
Perkara ini akan memberikan kebaikan kepada pengguna lain secara menyeluruh dalam pada memberikan keutuhan kepada kuasa membeli pengguna.

Boikot sesuatu barangan akan memberikan kesan kepada permintaan sesuatu barangan tersebut dalam pasaran. Dalam jangka masa panjang tidak mustahil pengeluar perlu akur kepada tuntutan yang didesak pengguna apabila jumlah permintaan kurang daripada penawaran sesuatu barangan.

Boikot ini juga sebenarnya boleh dilakukan secara berterusan kepada mana-mana peniaga yang culas dan tidak bertanggungjawab. Kedai atau gerai perlu diboikot sekiranya menyajikan barangan atau perkhidmatan yang kualitinya rendah.

Tuntasnya, kuasa yang ada pada pengguna wanita perlu digunakan sebaik mungkin.

Dalam pada ekonomi semakin meruncing, permintaan pengguna untuk sesuatu produk sudah pasti akan menjadi tagihan pemilik perniagaan.

Oleh yang demikian, mereka tidak mempunyai ruang untuk bertindak secara sambil lewa menghina pengguna yang mampu meneliti lambakan produk yang ditawarkan.

Kartel-kartel barang keperluan juga perlu menjadikan insiden boikot ini sebagai satu peringatan supaya mereka tahu bahawa pengguna tidak sewenangnya dibuli dan kepuasan pengguna menentukan kelangsungan perniagaan mereka.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×