SEREMBAN: Semua pemilik premis industri, komersial dan institusi di negeri ini perlu melantik kontraktor berlesen dalam menguruskan sisa pepejal dengan cara yang betul dan mengikut peraturan ditetapkan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Hazahar Hashim berkata, peraturan melantik kontraktor berlesen di bawah SWCorp adalah penting bagi memastikan sisa yang dikutip dilupuskan di pusat pelupusan yang dibenarkan.
Katanya, bagi memastikan peraturan itu sentiasa dipatuhi, SWCorp akan turun padang bersama dengan pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti kawasan-kawasan terlibat.
“Terutamanya di kawasan Nilai yang kini pesat membangun dengan bangunan industri serta turut terdapat perumahan baharu, kami akan mengenal pasti setiap pemilik premis industri, komersial sama ada mereka melantik kontraktor berlesen menguruskan sisa mereka dengan cara yang betul atau sebaliknya.
“Sekiranya didapati terdapat kesalahan dilakukan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Begitu juga tindakan sama dikenakan terhadap kontraktor tersebut, ketika ini tindakan lebih kepada peringatan dan amaran,” katanya ketika dihubungi di sini.
Selain itu, dalam perkara berkaitan, Hazahar berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 49 lokasi tempat pembuangan sampah haram dan daripada jumlah itu sebanyak enam lokasi telah diambil tindakan pendakwaan.
“Enam lokasi tersebut adalah melibatkan tanah milik persendirian dan selebihnya adalah tanah kerajaan,” jelasnya.
Ujar Hazahar lagi, pihaknya memandang serius mengenai kegiatan tempat pembuangan sampah haram justeru pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bersama pihak Majlis Bandaraya Seremban dan PBT yang lain untuk diambil tindakan tegas terhadap penjenayah yang membuang sampah di lokasi tidak dibenarkan.-UTUSAN.











