MUKADIMAH
NAMPAK bersahaja DATUK SERI MOHAMAD HASAN semasa bercakap dengan Utusan Malaysia pasal isu-isu semasa menyelubungi UMNO dan politik tanah air waktu ini.
Daripada isu integriti, ‘kluster mahkamah’, hal pengkhianatan, kerjasama dengan Pas sehinggalah kesiapsiagaan war room UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), berterus terang Timbalan Presiden UMNO ini kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di sebuah restoran nasi kandar di Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Ikuti temu bual dengan Mohamad yang sarat dengan mesej dan peringatan kepada bukan sahaja ahli UMNO malah buat pesaing parti itu.
Ada cakap-cakap UMNO terbahagi kepada tiga kem. Kem pertama berpihak kepada presiden parti; kedua, play safe (mengambil jalan selamat) dan kem ketiga, berpihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
MOHAMAD: UMNO amalkan demokrasi. Biasalah mereka memberi pandangan dan pendapat, tetapi bila nanti sudah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ahad ini, saya yakin semua orang akan akur. Itu sebabnya UMNO lebih meriah berbanding parti-parti lain yang amalkan dasar autokratik tidak boleh ahli parti bercakap apa-apa (mengeluarkan pandangan sendiri).
Dalam hal ini, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim terang-terang cenderung kepada Bersatu walaupun sebahagian besar bahagian UMNO telah memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
Saya tak pandang macam itu kerana bila mereka berpihak kepada Bersatu, bermakna mereka ada pandangan dan pendirian masing-masing. Apa salahnya pandangan begitu? Tapi saya harap selepas PAU buat keputusan, masih lagi tidak mahu terima kenyataan, mereka kena buat keputusan sama ada nak bersama parti atau tidak. Itu sepatutnyalah kalau mereka faham dan matang berpolitik.
Dengan UMNO dicap dianggotai kluster mahkamah melibatkan isu integriti, adakah itu satu kekangan untuk UMNO bergerak ke hadapan terutama memasuki gelanggang PRU-15?
Apa jua yang berlaku akan ada impak kepada parti. Namun, pihak yang empunya diri kata mereka teraniaya. Adanya pendakwaan terpilih. Jadi, perspektif ini terpulang kepada siapa yang melihat seperti mana. Cuma sebagai parti, kita akan menerima impak daripada perspektif pandangan orang. Majoriti rakyat melihat ianya sebagai suatu yang tak baik kepada parti.
Adakah isu ‘kluster mahkamah’ ini disuarakan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)?
Kita tidak suarakan kepada MKT sebab berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Jika keputusan mahkamah dibuat nanti, parti akan ambil pendirian atau yang empunya tubuh akan ambil pendirian yang tidak akan merugikan parti.
Kelihatan menteri-menteri daripada UMNO ‘tidak bersama’ presiden…Khairy, Hisham, Adham, Noraini. Mereka nampak ‘menjarakkan’ diri daripada bercakap isu-isu melibatkan UMNO.
Mereka kecuali Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Noraini Ahmad bukan penjawat utama jawatan dalam parti. Mereka bekerja dengan cemerlang menaikkan nama parti dalam Kabinet.
KJ (Khairy Jamaluddin), Adham, (Datuk Seri Adham Baba), Reezal (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Halimah (Datuk Seri Halimah Sadique) dan rakan-rakan bekerja dengan baik dan cekap jika hendak dibandingkan dengan menteri-menteri lain. Tetapi untuk mereka di mainstream party (arus perdana parti), mereka tiada jawatan. Nanti kata orang ‘lebih sudu daripada kuah’. Bila menilai sesuatu, kita tak boleh bias mengatakan mereka tidak bersama parti. Kepada kawan-kawan yang pegang jawatan, bertugaslah dengan baik, bawa nama UMNO. Setakat ini KJ dengan program nasional vaksinasinya. Adham pula mencegah wabak, beliau seorang yang berdedikasi. Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) kendalikan urusan luar negara. (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob, menteri kanan hari-hari keluar TV beri maklumat terkini kepada rakyat. Mereka buat kerja bagus, tapi dalam keadaan pandemik, kita melihat maksimum prestasi mereka.
Muktamad sudahkah UMNO tidak lagi bersama Bersatu dalam PRU-15?
Perhimpunan agung parti ini akan muktamadkan resolusi daripada bahagian-bahagian. Dan MKT telah ambil pendirian MKT bersama lebih 100 bahagian yang telah kemukakan usul tidak mahu bersama Bersatu semasa menghadapi PRU. Bukannya semasa sekarang. Jadi, masa hadapi PRU-15, kita tidak tolak sesiapa (mana-mana parti), kita cuma kata kita tanding atas tiket Barisan Nasional (BN). UMNO bukan rakan kongsi Perikatan Nasional (PN). Dari awal lagi, UMNO dan BN memutuskan untuk tanding atas tiket BN. Sama ada kita bersama dengan lain-lain parti, politik adalah dinamik. Esok boleh berubah atau selepas Parlimen dibubar boleh bertukar.
Kita akan terus mendukung kerajaan PN sehingga dibubarkan Parlimen. Itu sebabnya kita akan bersendirian, yang bermakna BN bersendirianlah bersama MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Dengan ini wal hasil balik asal lah, akan kembali ke persaingan tiga penjuru.
Kalau tiga penjuru apa salahnya. Kalau Bersatu nak lawan…itu pun kalau dia nak berlawan. Mengenai 13 kerusi yang dikatakan ‘menjadi pertikaian’ iaitu mereka menang atas tiket UMNO, kemudian lompat ke parti lain, sesiapa pun boleh buat pendirian. Tetapi itu kerusi UMNO. Macam Perang Enam Hari Arab-Israel 1967, ada kapal terbang dibawa lari, pilot mereka boleh ambil, tetapi kapal terbang kita punya,takkan nak kasi (beri) kepada mereka. Apa sebabnya dia lari (lompat) sedangkan dia wakili BN semasa menang (PRU-14) dulu. Kalau lari, patut jadi wakil Bebaslah. Kerusi tetap UMNO punya.
Pas masih bersama UMNO?
Setakat hari ini macam itulah. Kalau bersama, alhamdulillah. Kalau tak nak bersama, apa kita boleh buat. Tapi sebaiknya bersamalah. Kalau bersama, kuatlah kita. Kita sudah tunjukkan prestasi kalau bersama semasa MN menjadi pembangkang dahulu, kita menang (tujuh) pilihan raya kecil dengan cemerlang. Ini sudah terbukti walaupun masa itu kita pembangkang. Terpulanglah kepada Pas. UMNO akan teruskan matlamat supaya kita perkasakan MN ini. Bola berada di gelanggang Pas sekarang.
Persiapan UMNO sendiri dalam PRU-15 setakat ini macam mana?
Saya sudah turun di negeri pertama, Melaka. Saya bertemu pemimpin-pemimpin bahagian UMNO bersama jawatan kuasa war room. Saya tak mahu mendengar daripada orang ketiga.
Jawatankuasa kami mendengar persiapan kesiapsiagaan mereka untuk PRU. Sebab kami di war room di ibu pejabat ada semua data. Kami ada semua maklum balas. Kita nak bandingkan apakah data yang kita dapati itu sama dengan apa di bawah. Tak adil kita buat andaian tanpa kita sendiri turun tanya dengar daripada tuan punya bahagian atau bahagian tersebut. Setakat ini di Melaka, saya nampak kesiapsiagaan baik, tapi banyak boleh diperbaiki lagi.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adakah dibincangkan dengan UMNO?
Anda kena tanya Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Kalau tanya saya, mana saya tahu. Kalau jawatan TPM nak bagi, dulu dah bagi dah. Ada sebabnya jawatan itu dikosongkan dan ditiadakan dengan diwujudkan jawatan menteri-menteri kanan. Mesti ada alasan sebab Tan Sri Muhyiddin buat begitu.
Jika ada ditawarkan, wajarkah UMNO terima dalam keadaan sekarang?
Ia tak semestinya wajar atau tidak…(soalnya) tidak ada pelawaan pun. Kalau ada, boleh difikirkan wajar atau tidak. Buat apa terhegeh-hegeh orang nak pinang kita…siapa yang masuk meminang tu?
Ada pengkritik mengatakan UMNO waktu awal merdeka dengan UMNO sekarang berbeza. UMNO dulu katanya, banyak bagi peluang dan ruang kepada masyarakat majmuk. Tetapi UMNO sekarang ‘lebihkan Melayu… ketuanan Melayu’.
Tidak ada pula kata kita (UMNO) pada 2018 kita meninggalkan kaum-kaum lain. UMNO jadi induk dan tunjang kepada BN, bahkan semasa itu (Perdana Menteri keenam) Datuk Seri Najib (Tun Razak) beri bantuan kepada sekolah-sekolah Tamil mencecah RM1 bilion. Mana ada sebelum itu bantuan khas Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk usahawan masyarakat India, tak pernah ada. Tetapi ada, malah ada kuota tertentu untuk masyarakat India pergi ke asasi dan politeknik. Jadi, macam mana dikatakan UMNO tidak pedulikan kaum-kaum lain? Itu tak betul, hanya tanggapan.
Orang itu boleh mendakwa macam-macam. Tapi dakwaannya itu semacam dia buta hati atau mempunyai niat tak baik kepada UMNO. Kalau kita ambil perangkaan berapa banyak kita bantu, bantuan kita lebih baik daripada sebelum ini (kerajaan Pakatan Harapan). UMNO sentiasa peka membela semua orang dalam negara ini. Tak betul kita pinggirkan kaum lain. Yang cakap sebegitu, dia betul atau tidak. Atau lupa ‘makan ubat’.
Bahkan pengkitik itu mahu UMNO ‘dibersihkan’. Komen Datuk Seri?
Suruh dia bersihkan DAP juga. Ada ahli Parlimennya yang berhenti, masuk parti lain. Kalau nak cakap (kritik), bukan (setakat) UMNO sahaja, cakap keseluruhannya. Kenapa tuding jari pada UMNO sahaja. Parti lain…kes terowong itu ini, macam macam. Sebab apa dia kritik begitu? Sebab nampak jelas niat tak baik.
Annuar Musa mendakwa jurucakap PAU ditukar kerana khuatir mereka tidak akan berucap ikut kemahuan pihak tertentu.
Tak betul dakwaannya itu. Kita UMNO tak pandu siapa bercakap. Kita pilih mereka yang berintegriti yang belum dikompromikan. Kita dengar macam-macam. Ada kata ada jurucakap (yang dipilih sebelum ini) sampai dapat 10k, 20k (RM10,000, RM20,000). Kita dengar khabar ini, takkan kita nak duduk diam. Sebagai presiden, beliau ada pandangan. Kalau betul khabar ini, takkah susah PAU nanti?
Kita tak mahu PAU nanti tercemar dengan pembahas yang telah dikompromikan. Kita tak tuduh apa-apa, kita dengar khabar untuk kita elak perkara ini berlaku. Lebih baik pembahas ini terdiri daripada yang kita yakini diri mereka tak dikompromikan. Apa dia nak cakap, kita tak tahu. Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) walaupun cakap macam-macam, tapi dia pengerusi perhubungan negeri (UMNO Perlis). Kita beri dia bercakap. Apa dia nak cakap, kita tak tahu.
Untuk senarai calon UMNO/BN, siapa akan putuskan?
Terpulang kepada bahagian dan negeri senaraipendekkan, tetapi ibu pejabat dan presiden nanti akan putuskan. Ikut konvensyen, presiden parti yang akan tandatangan watikah pelantikan calon.










