PETALING JAYA: Perubahan iklim dan fenomena El Niño di Asia Tenggara dijangka menjadi penanda aras kepada peningkatan permintaan minuman ringan Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N).
MIDF Research memaklumkan, keadaan cuaca yang ekstrem ini mendorong pengguna untuk mencari pilihan minuman yang menyegarkan untuk kekal hidrat.
“Oleh itu, kami menjangkakan F&N menjadi benefisiari utama gelombang haba di seluruh rantau Asia Tenggara kerana kepimpinan pasarannya yang kukuh sebagai pemain sektor makanan dan minuman dalam rantau ini.
“Berdasarkan Perkhidmatan Indeks Runcit, F&N memegang kedudukan teratas dalam teh sedia diminum, minuman ringan berkarbonat, susu sejat dan susu pekat manis di Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut mengeluarkan amaran gelombang haba
amaran bagi 14 kawasan terutamanya negeri terjejas seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Sabah dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah selsius (°C), malah mencapai 40°C di sesetengah kawasan.
Melangkah ke hadapan, MIDF percaya pendapatan kumpulan dalam suku kedua dan ketiga tahun kewangan 2024 akan dirangsang oleh peningkatan permintaan untuk produknya bukan sahaja di negara-negara operasi utama seperti Thailand dan Malaysia tetapi juga melalui eksport ke seluruh Asia Tenggara, memandangkan cuaca yang melampau.
“Kesan semasa El Nino di rantau Asia Tenggara dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei sebelum fenomena La Niña yang dijangka pada Jun hingga September 2024,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, pihaknya optimis dengan rancangan F&N untuk melancarkan perniagaan susu segar huluan bersepadu, dengan fasa pertama menyasarkan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar di Gemas, Negeri Sembilan.
“Susu pertama dijangka dikeluarkan pada awal 2025. Inisiatif ini membolehkan kumpulan mencapai bekalan sendiri dan mengurangkan kos operasi.
“Sumber kumpulan pada masa ini adalah daripada luaran dengan jenama susu cecair isi rumah sedia ada seperti F&N Magnolia, Farmhouse dan Bear Brand.
“Namun, sasaran untuk mencapai jumlah pengeluaran sebanyak 200 juta liter susu segar selepas semua fasa siap juga akan membolehkan kumpulan mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa, seterusnya mengembangkan pendapatan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, MIDF research kekal positif terhadap prospek tahun kewangan 2024 F&N yang disokong permintaan kukuh daripada segmen minuman ringan kesan cuaca panas, termasuk kehadiran pelancong di Thailand dan Malaysia selain kos input bahan mentah yang lebih rendah dan kesan peralihan pengguna di pengguna di Malaysia terhadap jenama tempatan. – UTUSAN










