Berat ‘sang bedal’ Pantai Siring cecah dua tan

Berat ‘sang bedal’ Pantai Siring cecah dua tan

ORANG ramai melihat buaya tembaga yang ditangkap di Pantai Siring, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Buaya tembaga yang ditangkap para nelayan di Pantai Siring, Kampung Pulai di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, dianggarkan seberat dua tan atau 2,000 kilogram (kg).

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farid Abu Bakar berkata, ‘sang bedal’ sepanjang 4.5 meter itu kini ditempatkan sementara di BBP Ayer Keroh sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Bangi, Selangor.

Beliau berkata, kelibat reptilia itu disedari sekumpulan nelayan kira-kira enam meter dari pesisir pantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nelayan nampak ekor buaya terlebih dahulu, mereka cuba mengikat ekor haiwan itu dan tarik ke pantai. Sampai di pantai mereka mengikat kepala dan menghubungi bomba.

“Kita bantu mengawal keadaan supaya reptilia ini tidak agresif lantas membahayakan orang ramai.

“Anggaran kasar panjangnya mencecah 4.5 meter dan beratnya hampir dua tan. Jantina sama ada jantan atau betina belum dapat dipastikan. Terdapat kecederaan pada ekor buaya yang kita syaki berpunca akibat terkena perahu nelayan ketika proses menangkap,” katanya.

Dalam pada itu, wakil nelayan, Mohd. Amin Mohd. Yatim, 53, berkata, dia menyedari kehadiran buaya berkenaan berenang di pesisir pantai kira-kira pukul 10.15 pagi, lantas bertindak memanggil beberapa rakan untuk membantu menangkapnya.

Ujarnya, mereka mengambil masa hampir satu jam setengah untuk menundukkan reptilia itu yang sedikit agresif, sebelum berjaya menariknya ke pantai.

“Kami gunakan empat perahu untuk menangkapnya. Sejak akhir-akhir ini memang kelibat reptilia itu sering dilihat oleh penduduk setempat.

“Kebetulan semalam saya sendiri nampak dan mengajak beberapa rakan lain untuk menangkap bagi mengelakkan kejadian tidak diingini menimpa penduduk atau pelancong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini