TAPAH: Beliau bukan seorang bekas peserta sebuah program realiti popular, cuma menggunakan singkatan AF bagi nama penuhnya, iaitu Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan Kushairi dalam akaun rasmi TikTok.
Baru bergelumang kurang dua tahun, eksperimen pengasas maahad tahfiz ini ternyata membuahkan hasil lumayan apabila meraih pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan hasil siaran langsung dan ulasan produk tertentu.
Setakat semalam, TikTok beliau sudah mempunyai lebih 128,000 pengikut dan menghampiri 280,000 tanda suka pada video yang dimuat naik.
Video TikTok beliau yang mendapat sambutan tertinggi setakat ini ialah Doa ketika di dalam kesusahan dengan lebih 650,000 tontonan.
Bercerita lanjut, Ahmad Firdaus, 30, berkata, hasil sambutan hangat pengikutnya menyebabkannya terpilih sebagai Official Live Host TikTok Live Malaysia.
“Kebiasaannya saya akan bersiaran langsung dengan membaca ayat suci al-Quran iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi dan 9 pagi hingga 1 petang setiap hari.
“Menariknya, ada yang mengikuti siaran langsung saya menghadiahkan jubah, tasbih, produk makanan, peralatan malah pakej menunaikan umrah dan melancong secara percuma.
“Konsep saya ialah saya hanya mengalunkan al-Quran dan jarang membalas sebarang komen supaya pendengar dapat menghayatinya dengan sebaiknya selain tumpuan tidak terganggu,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau akan bersiaran langsung untuk ulas produk makanan selama tiga jam yang menjadikan jumlah keseluruhannya 11 jam.
“Tidaklah sukar kerana saya kini mempunyai studio yang selesa dan mempunyai kemudahan lengkap seperti rumah untuk berehat,” katanya yang dapat membeli sebuah kenderaan secara tunai hasil TikTok. – UTUSAN











