GUA MUSANG: Cuaca panas ‘melampau’ melebihi 35 darjah Celcius di jajahan ini menyebabkan pakaian yang dijemur kering dalam tempoh 15 minit sekali gus membantu memudahkan kerja-kerja suri rumah.
Seorang suri rumah, Min Abdullah, 38, berkata, sebelum ini pakaian yang dijemur mengambil masa agak lama untuk kering sepenuhnya.
“Bahang panas mula dirasai pukul 11 pagi hingga 6 petang. Jadi setiap hari saya dapat mengangkat kain jemuran lebih awal apabila semua baju yang dibasuh menggunakan mesin basuh siap dalam tempoh kurang setengah jam,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Sementara itu, Rasidah Abdul Manaf, 41, memberitahu, cuaca panas terik juga memberi kelebihan kepadanya apabila dapat menyelesaikan kerja rumah lebih awal tetapi pada masa sama cuaca panas menyebabkan bahang dirasai sehingga dalam rumah kayu miliknya.
“Saya bersama dua anak yang masih kecil lebih selesa berada di dalam rumah dan mengurangkan pergerakan atau aktiviti di luar pada waktu tengah hari.
“Gua Musang memang panas sejak lebih sebulan lalu sehingga saya dan anak mandi empat kali sehari,” katanya. –UTUSAN










