PETALING JAYA: Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia hari ini berkata, kenyataan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. (GAR), pemegang francais McDonald’s di negara ini kononnya telah menarik balik saman undang-undangnya sebagai tidak tepat.
Dalam satu kenyataan McDonald’s Malaysia, melalui pengarah urusannya, menyatakan mereka telah menarik balik tuntutan fitnah RM6 juta mereka terhadap BDS Malaysia.
Bagaimanapun, aktivis itu mendakwa bahawa pengumuman itu tidak mencerminkan dengan tepat prosiding undang-undang yang sedang berlangsung.
“Ketika sesi perantaraan awal, tidak ada persetujuan yang dicapai ekoran penolakan GAR mematuhi permintaan mereka untuk mengecam tindakan genosid Zionis Israel terhadap warga Palestin.
“Kita juga yakin BDS Malaysia dapat memenangi kes itu sekiranya dibawa ke perbicaraan kerana percaya kes GAR terhadap mereka adalah ‘sangat lemah’,” katanya.
Menurut BDS, perkara itu akan dibawa untuk diselesaikan pada 18 April di hadapan hakim yang dilantik mahkamah.
Dalam samannya, GAR menuntut ganti rugi RM6 juta termasuk kehilangan hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan kerja (RM1.6 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1.5 juta).
GAR berkata, defendan menghasut orang ramai untuk membenci jenama McDonald’s atas alasan konflik antara Palestin dan Israel.
“BDS Malaysia nafi memfitnah GAR yang dikatakan berkempen menentang gergasi rangkaian makanan segera itu tetapi hanya menyokong boikot dimulakan rakyat Malaysia,” katanya.
Pada 22 Mac, McDonald’s Malaysia mengumumkan menarik balik saman berikutan proses pengantaraan bersama pengarah urusanna dan rakan kongsi operasi tempatan, Datuk Azmir Jaafar.
Memetik hasil positif pengantaraan dan penjelasan dibuat BDS Malaysia, mereka mengakui bahawa tindakan McDonald’s pengendali di Israel bebas sepenuhnya daripada cawangannya di Malaysia.
BDS Malaysia berkata syarikat itu kekal dikategorikan di bawah senarai ‘sasaran boikot organik’. – UTUSAN










