GERIK: Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.20 tengah hari itu, pesara tentera, Kamizan Kasimon, 42, dan isterinya, Noor Asmah Mat Zainal, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, anak perempuan dan lelaki pasangan itu berusia tiga dan 10 tahun masing-masing cedera di dada dan dalaman badan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona dinaiki keempat-empat mangsa dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandu lelaki berusia 54 tahun.
Katanya, ketika kejadian, kereta Proton Persona berkenaan dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli manakala MPV itu pula dari arah bertentangan.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar MPV yang dinaiki enam sekeluarga.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan kereta Proton Persona cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa lain yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Zulkifli Buang di talian 019-5981659,” katanya. – UTUSAN









