Setahun pentadbiran Ab. Rauf: Kerajaan negeri sudah laksanakan 60 inisiatif

Setahun pentadbiran Ab. Rauf: Kerajaan negeri sudah laksanakan 60 inisiatif

AB. RAUF Yusoh (tengah) menunjukkan buku 60 Inisiatif Sentuhan Rakyat pada Majlis Mensyukuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), timbalan Exco dan penjawat awam negeri sepanjang setahun pentadbirannya.

Kata beliau, ini kerana segala perancangan direncanakan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 31 Mac tahun lalu dapat direalisasikan dengan cemerlang.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua Exco, timbalan Exco yang telah menyumbang merealisasikan aspirasi yang saya ilhamkan untuk memajukan Melaka. Mereka adalah yang terbaik bagi saya dan mereka jugalah pemangkin kepada kejayaan dalam memimpin sebuah negeri.

“Terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan dalam membina serta mewajahkan Melaka ketika ini dan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Mensyukuri Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Ab. Rauf, 64, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada 31 Mac 2023 menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang melepaskan jawatan.

Sebanyak 60 inisiatif berjaya dilaksanakan untuk rakyat Melaka sepanjang setahun pentadbiran Ab. Rauf merangkumi pelbagai sektor antaranya pelaburan, perindustrian, pelancongan dan sosio ekonomi rakyat.

Tambah Ab. Rauf, pelbagai lagi kejayaan akan dilakarkan menerusi suntikan nilai tambah terbaharu untuk memacu pencapaian gemilang Melaka, tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Ab. Rauf turut mengumumkan lima insentif khas kepada rakyat serta pelancong sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menawarkan parkir percuma bermula 10 hingga 16 April dengan implikasi kewangan berjumlah RM456,835.73.

“Selain itu insentif pengurangan kompaun letak kereta sebanyak 80 peratus bagi tahun 2020 hingga 2023 untuk tempoh pembayaran pada 6 April hingga 30 April. Aktiviti pemotongan bekalan utiliti turut ditangguhkan selama dua minggu bermula 8 April.

“Kerajaan negeri akan menambah cuti umum Aidilfitri pada tahun depan daripada dua hari kepada tiga hari menggantikan cuti sempena 1 Ramadan manakala kawasan zon bebas kenderaan akan ditutup awal iaitu pada 5 April dan dilanjutkan selama seminggu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×