Peluang June Wei buktikan kemampuan

Peluang June Wei buktikan kemampuan

CHEAM JUNE WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyertaan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dalam acara perseorangan yang masih menjadi tanda tanya telah membuka pintu kepada pemain profesional, Cheam June Wei untuk menjalani sesi pemilihan menjelang saingan Piala Thomas hujung bulan ini. 

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, beliau mempertimbangkan semua pilihan yang ada untuk kejohanan terbabit sementara menunggu penyertaan Zii Jia dan Tze Yong dalam acara berpasukan badminton dunia itu.

“Sudah tentu June Wei dalam pilihan walaupun senarai pemain belum 100 peratus lagi. Kita akan senaraikan pemain perseorangan terbaik dan bukan untuk pendedahan.

“Kami masih sedang mempertimbangkan untuk memilih June Wei untuk Piala Thomas ini. Kami memanggilnya ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Jumaat. 

“Sebab kami panggilnya adalah mahu melihat keadaan fizikalnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya ketika sesi latihan di ABM, semalam.

Pemain No.61 dunia itu pernah menjadi sebahagian daripada pasukan semasa edisi 2020 di Denmark namun terlepas daripada senarai ketika edisi 2022 di Thailand.

Dalam pada itu, Seu Bock mengakui bahawa Malaysia berada di ambang bahaya dengan berbaki seminggu sebelum tarikh akhir menamakan pasukan itu pada 13 April depan.

“Kami tidak mahu apa yang berlaku dalam Badminton Berpasukan Asia (BATC) berulang lagi. Kami mahu memutuskan senarai nama dengan baik kali ini.

“Bagi Tze Yong, kami memantau perkembangannya dan pemulihan setiap hari  dan akan melihat sama ada dia boleh pulih sepenuhnya menjelang 13 April sebelum membuat keputusan untuk memasukkannya ke dalam pasukan,” katanya.

Untuk rekod, bagi saingan BATC 2024 Februari lalu, pasukan lelaki Malaysia berada dalam keadaan huru-hara selepas Zii Jia dan Tze Yong tidak bermain beberapa perlawanan.

Susulan daripada itu, pasukan negara terpaksa menamakan pemain beregu lelaki Mohd Haikal Nazri dalam acara perseorangan ketiga namun beliau tidak perlu bermain selepas tumbang 0-3 kepada China.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×