UMNO Selangor masih ‘buta’ selepas kalah teruk PRN

UMNO Selangor masih ‘buta’ selepas kalah teruk PRN

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan UMNO Selangor tiada usaha mahu memperbaiki keadaan parti selepas kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Tengku Zafrul berkata, beliau telah memberi amaran terakhir mengenai perkara itu kepada pimpinan tinggi UMNO Selangor.

“Kalau keputusan PRN itu masih belum celikkan UMNO Selangor maka tidak ada apa yang boleh celikkan UMNO Selangor. Sekarang sudah lapan bulan berlalu tetapi masih tidak mempunyai pemeriksaan mendalam.

“Jika pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya akan lebih menumpukan dalam membantu UMNO di peringkat pusat dan di peringkat bahagian,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas beliau melihat perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar dan tidak sehaluan de­ngan tema di UMNO Pusat.

Tambah beliau, UMNO Selangor perlu laksana kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri Selangor.

“UMNO Selangor juga perlu memodenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, mengguna pakai data dan analisa dengan tepat.

“Pelapis juga perlu dicari dengan hati yang terbuka. Ini penting  kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan,” katanya.

Tambahnya lagi, paling penting, UMNO Selangor perlu menerapkan budaya politik baharu, sama ada budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar serta buang ‘cah keting.’

“Ini kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×